Tuesday, October 26, 2010

Polis Perancis, pekerja masih bertempur



PEKERJA mogok duduk di hadapan unggun api semasa mereka menghadang jalan masuk ke loji pelupusan bahan buangan di Ivry-sur-Seine, dekat Paris, semalam. - AP


MARSEILLE 25 Okt. - Masalah kekurangan bahan api di stesen-stesen minyak di seluruh Perancis semakin memburuk hari ini berikutan kekurangan penghantaran bekalan minyak, selepas mogok ekoran isu peningkatan had umur persaraan dilancarkan sejak 12 Oktober lalu.
Kesatuan Industri Petroleum Perancis berkata, suku daripada 12,300 stesen minyak di negara ini berhadapan gangguan bekalan minyak semalam, ekoran tindakan penunjuk perasaan yang menyekat laluan di kilang-kilang penapisan minyak serta pelabuhan.
Mogok besar-besaran yang dilancarkan penunjuk perasaan termasuk di kalangan pembekal minyak itu turut mengakibatkan kerugian sebanyak 400 juta Euro (RM1.7 bilion) setiap hari di Perancis.
Dalam perkembangan terbaru, pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis di Perancis terus berlaku awal hari ini, dengan pekerja limbungan bertindak menyekat beberapa lori tangki di sebuah depot besar minyak di bahagian selatan negara ini, sementara keadaan di sebuah depot minyak di tengah Perancis pulih seperti biasa.
Menurut seorang jurugambar AFP, depot minyak yang terbesar di selatan Perancis, Fos-sur-Mer, kini dikawal anggota kesatuan yang membantah rancangan Presiden Nicolas Sarkozy untuk menaikkan umur persaraan daripada 60 tahun kepada 62 tahun.
Kira-kira 200 penunjuk perasaan dilapor menyekat beberapa lori tangki gasolin ketika polis memantau tindakan mereka.
Sementara itu, beberapa sumber berkata, keadaan di depot Saint-Pierre-des Corps berhampiran Tours, di tengah Perancis, pulih seperti seperti biasa hari ini selepas seminggu lumpuh, apabila kira-kira 30 penunjuk perasaan meninggalkan lokasi itu tanpa sebarang insiden.
Sarkozy minggu ini cuba untuk tidak terlalu memikirkan tunjuk perasaan yang berlaku dengan meneruskan langkah untuk meluluskan undang-undang menaikkan had umur persaraan, walaupun berhadapan gelombang baru mogok, perhimpunan serta tindakan menyekat bahan api oleh penunjuk perasaan.
Dengan beribu-ribu keluarga bersedia memulakan cuti penggal pertengahan sekolah dan penggubal undang-undang dijangka meluluskan rang undang-undang baru persaraan pada Rabu ini, Presiden itu berharap, bantahan besar-besaran akan berakhir.
Namun, tinjauan pendapat akhbar semalam menunjukkan populariti Sarkozy kini merudum, kesatuan-kesatuan pekerja dan badan-badan pelajar mengumumkan untuk meneruskan bantahan bagi sekurang-kurangnya dua hari lagi, termasuk mogok di sektor minyak utama.
Satu daripada empat stesen minyak di Perancis kehabisan bekalan, berikutan mogok di kilang penapisan minyak dan sekatan di depot oleh penunjuk perasaan yang bertempur dengan polis yang mahu menyuraikan mereka. - AFP

No comments:

Post a Comment