Friday, October 22, 2010

Dr Zulkifli jadi taruhan Pakatan Rakyat





GUA MUSANG – Timbalan Dipertua Pas Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamed, 44 diumumka:n sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini bagi mempertahankan kerusi DUN terbabit. 


Pemilihan Zulkifli yang juga pengamal perubatan sebagai calon itu diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan sewaktu menyampaikan ceramah perdana sempena sambutan 20 tahun pemerintahan kerajaan Pas Kelantan di Dataran Ilmu di sini, malam tadi. 


Hadir sama pada ceramah tersebut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Tmbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Koo Ham. 


Dr Zulkifli anak ketujuh daripada 10 adik beradik merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil pada tahun 1974, Mohamad Awang. 


Beliau merupakan graduan perubatan Universiti Malaya pada tahun 1992 dan memiliki klinik sendiri di Chiku. 


Dr Zulkifli merupakan bekas calon Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 yang tewas kepada calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah. 


Pada pilihan raya umum 2004, beliau tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 6,598 manakala pada Pilihan Raya Umum 2008 tewas 4,394 undi bagi kerusi Parlimen Gua Musang. 


Dr Zulkifli juga pernah menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Gua Musang selama dua penggal iaitu 2005 sehingga 2009 sebelum jawatan itu disandang oleh Allahyarham Chek Hashim Sulaima. 


Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian Chek Hashim dari Pas pada 27 September lalu akibat barah usus. 


Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang, Mohamad Saufi Derahman yang mendapat 3,753 undi dengan majoriti 646 dalam pilihan raya umum lalu. 


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi kerusi tersebut pada 26 Oktober manakala pembuangan undi pada 4 November ini. 


Seramai 11,553 pengundi layak mengundi pada pilihan raya kecil itu termasuk Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan lain-lain kaum 1,889 orang.

No comments:

Post a Comment