Friday, October 22, 2010

Elaun nelayan batal jika tipu diesel, petrol




2010/10/22

Jawatankuasa pastikan agihan subsidi, sara hidup ikut dasar 

KUALA LUMPUR: Nelayan boleh hilang kelayakan menerima elaun sara hidup jika mereka menyeleweng atau menyalahgunakan diesel dan petrol subsidi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong.Beliau berkata, kelayakan menerima elaun bagi sesuatu bulan atau tempoh tertentu juga boleh ditarik balik sekiranya pemilik bot dan pemegang kad e-Petrol serta e-Diesel disenarai hitam kerana melanggar peraturan.“Ia termasuk lesen vesel perikanan atau kad berkenaan tamat tempoh dan belum atau tidak diperbaharui, vesel perikanan rosak, tenggelam atau tidak beroperasi menangkap ikan atau pemilik vesel menjual vesel mereka kepada nelayan lain,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) di Dewan Rakyat, semalam. 

Wee ingin tahu langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel dan elaun sara hidup yang menyebabkan nelayan hilang kelayakan atau tidak menerima bantuan pada bulan tertentu. 

Chua berkata, Jawatankuasa Induk Pelaksana Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan yang ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan skim pemberian subsidi lancar dan mengikut dasar ditetapkan kerajaan. 

Katanya, pemberian subsidi adalah mengikut kuota yang ditetapkan berdasarkan jenis perkakasan yang digunakan, kelas muatan vesel dan zon operasi menangkap ikan. 
“Kementerian juga menetapkan syarat layak terima subsidi seperti memiliki lesen sah Jabatan Perikanan Malaysia atau Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Jabatan Laut Sabah dan perlu mempunyai vesel perikanan yang selamat dan masih beroperasi untuk menangkap ikan,” kata Chua. – Bernama 

No comments:

Post a Comment