Friday, October 22, 2010

Mek hidup dalam belukar




MALIM NAWAR - Di sebalik kepesatan pembangunan ekonomi di sana sini, masih ada insan hidup dengan penuh kedaifan dan tinggal di kawasan belukar berhampiran Jalan Tanjung Tualang. 

Sukar dipercayai, namun itulah hakikat kehidupan dilalui seorang lelaki warga emas yang hanya dikenali sebagai Mek. 

Berdasarkan catatan pada secebis kertas dan kad rawatan hospital miliknya, Mek dipercayai telah berusia 85 tahun dan tinggal berseorangan di kawasan belukar itu sejak beberapa tahun lalu. 

Mek juga mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan lain, selain cebisan kertas bersama kad rawatan harian dengan nombor 467214 tertera sebagai nombor kad pengenalannya yang hilang. 

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan ‘kediaman’ Mek mendapati warga emas ini sekadar tinggal di sebuah pondok yang dibina dari bahan terbuang, selain tidak mempunyai sebarang kemudahan bekalan air serta elektrik. 

Tambah memilukan apabila ditanya dari mana dia memperoleh bekalan air, Mek berkata, dia hanya menadah air hujan. 

“Saya tadah ayor (air) hujan masa (ketika) hujan lebat sebab mana nak cari ayor kat kawasan ini. 

"Bila malam saya pasang pelita. Beras ada orang bagi, saya masak. Daging ni saya beli di market (pasar) tu. Nak minum masak ayor, tu gula ada, susu ada,” katanya kepada Sinar Harian yang mengunjunginya di sini. 

Berdasarkan perbualan dengan Mek, difahamkan warga emas tersebut pernah bekerja dengan sebuah syarikat kapal korek di sini, suatu ketika dahulu. 

Sementara itu, kisah kehidupan Mek ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh yang sempat meluangkan masa melihat keadaan Mek. 

Keshvinder berkata, pihaknya akan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak bagi menyegerakan proses mendapatkan kad pengenalan, selain menyediakan rumah untuk Mek. 

“Kes Mek ini adalah yang pertama bagi Program Jom Cari yang dilancarkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar tidak lama dahulu. 

“Program tersebut dilancarkan bagi mencari, mengenal pasti dan seterusnya membantu individu serta keluarga yang hidup dalam serba kekurangan seperti kes Mek," katanya. 

Menurutnya, program ini akan berterusan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes seumpama ini khususnya di Malim Nawar diminta menghubungi DUN Malim Nawar untuk tindakan selanjutnya. 

No comments:

Post a Comment