Thursday, October 21, 2010

Jambatan gantung kian uzur


Seorang penduduk menunjukkan tali pengikat lantai jambatan gantung Sungai Kechau hampir putus di Kuala Kechau, Kuala Lipis, semalam.


KUALA LIPIS 20 Okt. - Seramai 350 penduduk Kampung Kuala Kechau, dekat sini berdepan dengan risiko keselamatan berikutan jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Kechau di kampung itu semakin uzur.
Struktur jambatan sepanjang 60 meter yang menghubungkan Kampung Kechau dan Kampung Cherba yang usang itu boleh menyebabkan ia terputus dan jatuh ke dalam sungai pada bila-bila masa, sekali gus mengundang padah kepada penduduk.
Menurut penduduk, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan mereka untuk menyeberang sungai bagi menjalankan urusan seharian.
Selama ini, kata mereka, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk ke kebun dan ke bandar Jerantut selain kemudahan pelajar ke sekolah dan menunaikan solat Jumaat.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati, lapan tali penahan lantai jambatan putus manakala tali di bahagian lain juga bakal mengalami nasib sama.
Seorang penduduk Kuala Kechau, Mohd. Asri Jaafar, 44, berkata, jambatan berkenaan tidak sesuai lagi digunakan kerana banyak tali pengikat lantai putus dan strukturnya semakin uzur.
"Tali besi penghadang di kiri kanan laluan kini tidak kukuh dan hampir putus yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk melintasinya setiap hari," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurutnya, lantai jambatan berkenaan dimakan usia dan licin ketika hujan menyebabkan motosikal dan basikal mudah tergelincir.
Rakannya, Mohd. Zukri Ismail, 49, berkata, jambatan gantung itu bergoyang dengan kuat apabila dilalui kenderaan dan pejalan kaki kerana tali besi pengikatnya longgar dan berkarat.
"Ramai penduduk termasuk penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai akibat tergelincir ketika melalui jambatan ini," katanya.
Mohd. Zukri berkata, jambatan itu juga kerap ditenggelami banjir pada musim tengkujuh.
Katanya, penduduk berharap kerajaan negeri membaik pulih jambatan itu atau menggantikannya dengan jambatan konkrit untuk kemudahan penduduk menjalankan urusan seharian mereka.
Seorang penduduk Kampung Cherba, Ahmad Omar, 18, berkata, jika jambatan itu tidak dibaiki, penduduk terpaksa mencari alternatif menggunakan perahu atau bot untuk menyeberangi sungai itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman ketika dihubungi berkata, pihaknya menyedari masalah yang dihadapi penduduk terbabit dan mengemukakan isu itu ke mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk dapatkan peruntukan membaiki jambatan itu.
"Kita meneliti dan cuba menyelesaikan masalah berkenaan. Saya harap penduduk bersabar kerana kerajaan negeri beri keutamaan untuk baik pulih jambatan ini," katanya.
Beliau meminta penduduk mengutamakan aspek keselamatan jika menggunakan bot atau perahu dengan memakai jaket bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

No comments:

Post a Comment