Thursday, October 21, 2010

Pulak dah!

80 pemandu teksi berang 


TELUK INTAN - Seramai 80 pemandu teksi dan juga kereta sewa di Hilir Perak membantah penambahan perkhidmatan bas berhenti-henti sedia ada dari bandar Teluk Intan ke Bagan Datoh kerana ia menjejaskan pendapatan mereka. 

Pengerusi Persatuan Tuan Punya dan Pemandu Kereta Sewa Hilir Perak, S Manokaran berkata, bantahan itu diadakan berikutan operasi bas berhenti-henti yang baru iaitu Bagan Datoh Liner boleh menyebabkan pendapatan mereka merosot. 

Menurutnya, jumlah pendapatan mereka semakin berkurangan sejak perkhidmatan bas itu beroperasi lima bulan lalu berikutan kerajaan membenarkan operasi bas Bagan Datoh Liner. 

“Kami rasa cukuplah perkhidmatan bas Lower Perak Motor Service (LPMS) yang sedia ada kerana kawasan Hilir Perak tidak mempunyai penduduk yang padat,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi di Perhentian Teksi Jalan Selat, dekat sini, semalam. 

Menurut Manokaran, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu melihat semula kelulusan yang diberikan kepada syarikat bas itu dan membuat kajian terhadap kenderaan perdagangan lain yang beroperasi termasuk teksi serta kereta sewa. 

Beliau berkata, bantahan berkenaan pernah dihantar kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) supaya tidak membenarkan syarikat baru tersebut menggunakan laluan MPTI. 

Menurutnya, dalam surat berkenaan, sebahagian besar ahli persatuan menandatangani surat bantahan itu bagi menguatkan lagi alasan yang diberikan. 

"Kami mendapat maklum balas dari MPTI dan menjelaskan pihaknya memanjangkan masalah itu kepada Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada 14 Oktober lalu. 

"Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana melibatkan pendapatan pemandu teksi dan semua mereka menjalankan kerja ini sepenuh masa,” katanya. 

Seorang pemandu teksi, Yusof Abd Manaf, 42, berkata, sejak bas baru berkenaan beroperasi, pendapatan mereka terjejas teruk iaitu daripada RM100 hingga RM120 sehari turut kepada RM20 sahaja sehari. 

"Apa yang kami hendak buat dengan RM20 itu, sedangkan perbelanjaan minyak sehari RM60,” katanya yang kecewa dengan kelulusan diberikan kepada syarikat bas itu. 

Dia yang bekerja selama 15 tahun membawa teksi berkata, penumpang menggunakan perkhidmatan awam di Hilir Perak tidak ramai kerana daerah berkenaan bukan bandar besar dan kebanyakan mereka mempunyai kenderaan sendiri. 

Seorang ahli persatuan, Wong Yin Teck, 72, berkata, dalam keadaan pada masa kini kos hidup semakin lama semakin tinggi, bagaimana pemandu teksi boleh menampung pendapatan mereka jika tempat mencari rezeki diganggu oleh pihak lain. 

"Paling banyak pernah saya dapat selepas perkhidmatan bas Bagan Datoh Liner itu adalah RM60. 

"Sekarang hendak pulang modal untuk bayar minyak sehari pun tak boleh, bagaimana pula kami mahu menyara keluarga,” katanya. 

Pemandu teksi berharap kerajaan mendengar rintihan ini yang terdesak dan terhimpit dengan kewujudan perkhidmatan bas terbaru itu.

No comments:

Post a Comment