Sunday, October 3, 2010

Seorang lagi ahli perniagaan hilang



KAPAR - Seorang lagi ahli perniagaan dilaporkan hilang sejak lebih setahun lalu, dipercayai mempunyai hubung kait dengan suspek utama kes kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam mendakwa kehilangan ahli perniagaan dikenali, S Anpalagan akibat perebutan kuasa dalam syarikat dimilikinya. 

Mangsa mempunyai 430 ekar tanah di Hulu Selangor dan 10 ekar di Banting dan status pemilikannya menjadi tanda tanya selepas kehilangannya. 

Sehubungan itu, isterinya S Jayanthy 34, membuat laporan polis kehilangan suaminya pada 4 Ogos 2009 namun sehingga kini tiada perkembangan dilaporkan. 

Kali terakhir mangsa menghubungi isterinya pada 3 Ogos 2009, ketika mahu bertemu rakannya di Bukit Sentosa, sebelum ke Banting. 

"Dia cuba mengesan suaminya melalui alat Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang dipasang di kereta Mercedes milik suaminya dan ditemui ditinggalkan di Nur Lembah Pangsun Eko Resort, Hulu Selangor, namun suaminya masih belum ditemui sehingga kini. 

"Kami mempunyai bukti untuk mengaitkan kes kehilangan ini dengan suspek berdasarkan hubungan baik dengan mangsa yang membesar bersama di Banting," katanya pada sidang akhbar, semalam. 

Sementara itu, Jayanthy mendakwa, keluarganya pernah ditipu oleh bekas setiausaha suaminya, dikenali Raja yang kini menjawat jawatan sebagai pengurus syarikat milik suaminya. 

Terdahulu Jayanthy mendakwa dia pernah menandatangani satu dokumen yang dikirimkan seorang peguam bagi membenarkan seseorang mengendalikan syarikat sepanjang ketiadaan suaminya.

No comments:

Post a Comment