BACHOK 8 Nov. – Akibat dibelenggu kemiskinan, sepasang suami isteri terpaksa mengubah suai sebuah kandang lembu untuk dijadikan bangsal tempat tinggal mereka bersama lapan orang anak berusia satu hingga 22 tahun, sejak empat bulan lalu.
Walaupun terpaksa berhimpit-himpit dalam bangsal kecil berdindingkan papan terbuang dan hanya beralaskan tikar, Zakaria Abdullah, 42, dan Salma Mamat, 39, dari Kampung Bakong dekat sini reda kerana itu hakikat kehidupan yang terpaksa dialami oleh mereka 10 beranak disebabkan kemiskinan.
Menurut Zakaria, bangsal itu dibina selepas dia tidak mempunyai sumber kewangan untuk membayar rumah sewa kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung kehidupan keluarganya.
Katanya, dia telah menyewa lebih 10 buah rumah, tetapi disebabkan tidak mampu membayar sewa, mereka sekeluarga dihalau keluar oleh pemilik rumah berkenaan.
Jelasnya, dia tidak mempunyai pilihan selain membina bangsal kecil itu yang asalnya sebuah kandang lembu sebagai tempat berteduh mereka sekeluarga.
“Rasa sedih dan sayu apabila melihat anak dan isteri basah kuyup ketika hujan lebat dan tanah yang basah digenangi air kerana tidak dibina lantai.
“Saya hanya bekerja sebagai buruh kasar tidak memiliki wang untuk memberi kesempurnaan hidup kepada isteri dan anak-anak. Ia hanya cukup untuk mengalas perut sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Zakaria ditemui semasa menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain ke bangsal itu bagi meninjau kesulitan yang dihadapi oleh pasangan tersebut, seterusnya menyampaikan bantuan segera untuk meringankan beban keluarga berkenaan.
Sementara itu, Salma berkata, anak-anak mereka sudah faham dan mengerti tentang kemiskinan keluarga yang sering berpindah-randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa yang lain termasuk dihalau pemilik rumah kerana tidak mampu menjelaskan sewa.
“Mujurlah mereka faham dengan keadaan sebegini dan anak-anak tidak banyak ragam walau terpaksa hidup dan tidur berhimpit-himpit.
“Mereka akur dan mengerti tentang kesempitan hidup dialami,” katanya.
Salma berkata, hidup dalam serba kekurangan sudah menjadi ‘asam garam’ keluarga mereka termasuk makan nasi hanya berlaukkan budu dan ulam-ulaman yang dikutip dari semak berdekatan kerana tidak mampu membeli ikan.
Menurutnya, jika mahu makan ikan maka terpaksa menangkap sendiri di sungai atau sawah berdekatan.
“Saya terpaksa menebalkan muka dan menghilangkan perasaan malu dengan meminta ihsan serta simpati peniaga di Pasar Jelawat untuk mendapatkan kulit ayam yang hendak dibuang untuk digoreng atau digulai sebagai juadah istimewa keluarga,” katanya.
Salma memberitahu, disebabkan kemiskinan hidup, dua daripada empat anaknya yang sepatutnya belajar di tingkatan satu dan tiga terpaksa berhenti sekolah.
Bagaimanapun, dua lagi anaknya yang belajar di tingkatan empat dan tadika masih meneruskan persekolahan masing-masing.
Dia berkata, meskipun anak sulung dan keduanya sudah berumah tangga, tetapi mereka juga hidup dalam kemiskinan dan tidak mampu untuk membantu keluarga.
“Malah, isteri mereka juga turut tinggal bersama kami, menjadikan keadaan bangsal kami semakin sesak,” katanya.
Salma berkata, impian utama keluarganya ialah mendapatkan bantuan rumah tetapi mendakwa tidak mengetahui cara memohon bantuan selain beranggapan tiada pihak yang sudi membantu disebabkan mereka sering dihalau akibat gagal membayar sewa rumah.
Sementara itu Illias berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga terbabit mendapat sebuah rumah yang lebih selesa dalam masa terdekat selain bantuan lain yang boleh disalurkan pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment