2010/11/21
SEORANG lelaki melihat kampungnya yang musnah selepas letusan Gunung Merapi.
YOGYAKARTA: Puluhan ribu penduduk sudah kembali ke rumah masing-masing di cerun Merapi selepas pihak berkuasa mengurangkan kawasan zon bahaya di sekitar gunung berapi itu sehingga lingkungan lima kilometer selepas aktivitinya berkurangan.
Ketua Agensi Pencegahan Bencana Gunung Berapi dan Geologi (PVMBG) Surono, berkata zon bahaya untuk Sleman, daerah paling teruk terjejas dalam letusan Merapi, dikurangkan daripada 20 kilometer dari bahagian kawah kepada antara 10 hingga 15 kilometer.Bagi daerah Magelang dan Klaten, zon bahaya kini ditetapkan pada lingkungan 10 kilometer dari kawah berbanding 15 kilometer sebelum ini, sementara di Boyolali ia diletakkan pada lima kilometer, katanya.
Pengurangan kawasan zon bahaya, tambahnya dibuat selepas penurunan kekuatan letusan sejak beberapa hari lalu.
“Bagaimanapun, kami tidak merendahkan status Merapi dari amaran tertinggi dan kami terus memberi peringatan kepada penduduk Yogyakarta ancaman aliran lahar menerusi Sungai Kod, yang mengalir menerusi nadi bandar ini masih ada,” katanya.
Syamsul Maarif, ketua Agensi Pencegahan Bencana Negara (BNPB) berkata kira-kira 80,000 daripada 272,164 penduduk yang dipindahkan di empat daerah mengelilingi Merapi - Sleman di sini, Magelang, Klaten dan Boyolali di Jawa Tengah, sudah kembali ke kampung masing-masing.
Polis masih mengawasi pergerakan mangsa yang berpindah dan memberi amaran kepada bukan penduduk agar jangan memasuki kawasan bencana itu kerana ia mungkin menghalang usaha bantuan, katanya.
“Kami meminta polis dan tentera mengawal dan memantau pergerakan penduduk yang berpindah dan menghalang orang luar memasuki kawasan bencana untuk melihat,” katanya.
Orang luar yang berlegar-legar di kawasan itu, tambahnya bukan hanya mengganggu penduduk yang cuba kembali meneruskan hidup mereka, namun turut meletakkan diri mereka berisiko jika gunung berapi meletus kembali.
Sri Purnomo, ketua daerah Sleman, meminta penduduk yang pulang supaya tidak mengambil risiko berlebihan.
“Kami membenarkan penduduk pulang ke rumah, namun kami menggesa mereka untuk tidak cuba tinggal dalam rumah jika ia tidak sesuai untuk didiami,” katanya.
Penduduk yang rumah mereka rosak teruk, tambahnya, diminta untuk mengambil barang yang boleh diselamatkan dan kembali ke pusat perlindungan.
Sekurang-kurangnya tiga pusat perlindungan di daerah itu, semuanya dalam lingkungan 10 kilometer dari kawah dan ditinggalkan selepas letusan besar 5 November lalu akan dibuka semula untuk menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, katanya.
Stadium Maguwoharjo di Sleman akan terus berfungsi sebagai penempatan perlindungan utama.
Bekerja sama dengan BNPB, pentadbiran Sleman juga akan membina perlindungan kekal untuk penduduk.
Pusat perlindungan akan dibina dalam lingkungan 10 kilometer dari puncak gunung dengan belanja 6 juta rupiah sehingga 7 juta rupiah(RM2,085.71 hingga RM2,443.70) seunit. Purnomo tidak menyatakan berapa banyak unit akan dibina.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Sosial, Salim Segaf Al-Jufri, berkata kerajaan dijangka menamatkan tempoh tindak balas kecemasan bagi letusan Gunung Merapi Rabu ini.
“Sama ada tempoh itu akan dilanjutkan atau tidak bergantung kepada situasi,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment