Sunday, November 21, 2010

Lalat ‘serang’ semula Kg. Desa Jaya





ITHNIN Ahmad menunjukkan lalat yang terperangkap pada kertas pelekat khas di rumahnya sambil diperhatikan cucunya di Kampung Desa Jaya, Yong Peng, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 19 Nov. – Kira-kira lima bulan lalu, lalat telah menyerang Kampung Desa Jaya, Yong Peng dekat sini namun hasil pendedahan Utusan Malaysia, masalah itu dapat diatasi.
Masalah gangguan lalat itu dipercayai berpunca daripada ladang ternakan ayam berhampiran rumah penduduk kampung.
Menurut penduduk, pendedahan bertarikh 28 Mei lalu bertajuk ‘Dihurung lalat siang malam’ menyebabkan pengusaha ladang ternakan ayam mengambil tindakan menjaga kebersihan kawasan ladang untuk membasmi pembiakan lalat.
Bagaimanapun, sejak enam hari lalu, penduduk kembali menderita diserang lalat.
Malah, ibadat korban sempena Aidiladha baru-baru ini dicemari ‘pesta’ lalat.
Wakil penduduk, Ithnin Ahmad, 63, berkata, walaupun kebiasaannya lalat akan mengerumuni daging lembu korban yang dilapah, namun bilangannya kali ini terlalu banyak seolah-olah pesta lalat.
“Sebelum korban pun dah banyak lalat, hari korban apatah lagi. Kami dapati sejak enam hari lalu sampai sekarang masih banyak lalat.
“Cuti sekolah ini, ada yang mengadakan kenduri kahwin, kalau sudah banyak sangat lalat begini tentu susah dan malu tuan rumah. Belum kira penyakit yang dibawa lalat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ithnin yang lebih senang dipanggil Wak Nin turut bimbangkan kesihatan cucunya yang baru berusia dua bulan akibat serangan lalat itu.
Isterinya terpaksa berjaga dan menghalau lalat daripada menghinggapi bayi kecil itu yang tentunya mempunyai daya tahan lebih rendah berbanding orang dewasa.
Wak Nin turut menunjukkan lokasi ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk yang terdekat.
Ladang ternakan terbuka itu terletak agak terceruk dari perumahan penduduk dan dilindungi ladang kelapa sawit dan getah, menyebabkan kenderaan biasa seperti kereta tidak dapat masuk ke situ dan terpaksa menggunakan motosikal.
Dia turut meminta pihak ladang mengambil tindakan sewajarnya bagi membasmi penyebaran lalat yang menyusahkan orang kampung.
“Jika ada lesen operasi, kena jaga kebersihan dan sembur ubat lalat jangan sampai ia merebak ke kampung. Duit juta-juta ada untuk buat ladang, tak akan tak mampu sembur ubat lalat,’’ katanya.
Dia mendakwa telah memaklumkan masalah itu kepada pengusaha ladang dan Jabatan Kesihatan, namun hingga kini belum ada tindakan penyelesaian dilakukan.

No comments:

Post a Comment