Sunday, November 21, 2010

Hamid minta simpati



HAMID Jusoh yang mengalami kecacatan kedua-dua belah kaki bersama Azizah Mahamud dan anaknya, Nurul Husna, di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah, semalam.


PADANG TERAP 19 Nov. - Menjalani kehidupan harian dengan sepasang kaki yang cacat bukan sesuatu yang mudah.
Tanpa bantuan dan sokongan semua pihak, sudah tentu ia menjadi lebih sukar lagi.
Itu yang dialami Hamid Jusoh, 69, yang tinggal bersama isterinya, Azizah Mahamud, 50, dan empat anak mereka di Kampung Kuala Pai dekat Kuala Nerang di sini.
Kehidupan Hamid hanya bergantung kepada Azizah yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kasar kira-kira RM200 sebulan.
Hamid berkata, dia mengalami kecacatan kaki sejak zaman kanak-kanak lagi dan sebelum ini pernah mengambil upah menoreh getah serta membuka kedai runcit secara kecil-kecilan di kawasan rumah sekitar tahun 1970-an.
Namun, katanya, kedai runcit itu sudah tidak beroperasi lagi dan ketika ini tiada sebarang sumber pendapatan yang mampu menampung kehidupan keluarga itu.
"Anak-anak pula bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu. Saya ada seorang anak yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Katanya, dia pernah menerima wang zakat sebanyak RM650 setahun tetapi tidak lagi menerimanya tahun ini.
"Begitu juga dengan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah lama tidak dapat.
"Saya ada kad orang kurang upaya (OKU) daripada JKM tetapi setakat ini tiada sebarang bantuan," katanya.
Hamid berharap dengan bantuan yang disalurkan pihak tertentu dapat meringankan beban keluarganya bagi menampung kehidupan seharian.
Katanya, dia hanya boleh mengesot di dalam rumah dan tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.
Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) anak Hamid, Hasnah 0213029000058876.

No comments:

Post a Comment