Sunday, November 21, 2010

Azmin dapat 15,417 undi, Mustaffa Kamil hanya 3,542



Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2010/11/21

Azmin Ali (kiri) dan Mustaffa Kamil.
Azmin Ali (kiri) dan Mustaffa Kamil.
Proses pemilihan pimpinan PKR masuk minggu keempat 

KUALA LUMPUR: Calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali terus mendahului pesaingnya, Mustaffa Kamil Ayub pada proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan yang masuk minggu keempat, semalam.
Hingga jam 10 malam tadi, Mohamed Azmin memperoleh 15,417 undi, manakala Mustaffa Kamil hanya 3,542 menerusi keputusan lapan daripada 15 cabang PKR yang mengadakan pemilihan iaitu tiga di Johor dan masing-masing enam di Selangor serta Sarawak.
Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Abd Malek Hussin, berkata beberapa cabang PKR di Sarawak mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi atau lebih lapan peratus iaitu di Santubong (11 peratus), Hulu Rajang (17 peratus), Bandar Kuching (12 peratus) dan Semberong (27 peratus). 

“Ada cabang yang mencatatkan peratusan keluar mengundi rendah seperti di Pulai (empat peratus). Mungkin kerana ada ahli yang masih bercuti sempena Aidiladha dan berada di luar kawasan mendaftar sebagai ahli menyebabkan bilangan keluar mengundi amat rendah,” katanya kepada Berita Minggu. 

Di PULAI, hanya 31 ahli PKR keluar memilih manakala di Semberong sekadar 45 ahli selain Batang Lupar (lapan), Bandar Kuching (34), Mambong (30) dan Hulu Rajang (51). 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola pemilihan Johor, Zabidi Abas berkata, tiada kekecohan berlaku sepanjang proses pemilihan semalam di empat cabang di negeri itu. 
Hari ini, sebanyak 37 cabang lagi akan melangsungkan proses pemilihan iaitu di Sarawak (16 cabang), Johor (17), Selangor (tujuh) dan Sabah (satu) dan keputusannya akan menentukan siapa bakal menduduki kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

No comments:

Post a Comment