Thursday, November 18, 2010

Jambatan runtuh, ibadat korban terjejas


Dua penduduk melihat struktur bahagian tengah jambatan kayu yang merentangi Sungai Jelai terputus dua akibat banjir di Kampung Gemuncur, Kuala Lipis, kelmarin. - utusan/ Haris Fadilah Ahmad


KUALA LIPIS 17 Nov. - Ibadah korban di tujuh kampung di Cheka Satu, dekat sini terjejas apabila jambatan kayu di Sungai Jelai runtuh dihanyutkan arus deras kelmarin.
Lima penempatan yang terputus hubungan itu ialah Kampung Gemuncur, Kampung Baru, Kampung Tanjung Jelai, Kampung Batu Bor, Kampung Batu Tunggal, Kampung Talus dan Kampung Batu Balak.
Selain gagal melaksanakan ibadat korban, penduduk terbabit juga tidak dapat keluar berbelanja di bandar Jerantut dan Kuala Lipis untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.
Jambatan itu terputus dua kira-kira pukul 1 pagi kelmarin akibat dihanyutkan arus kuat Sungai Jelai berikutan banjir kilat di Hulu Jelai dekat sini selepas hujan lebat selama empat hari.
Difahamkan, penduduk terbabit menggunakan jambatan yang diperbuat daripada kayu balak itu sejak 20 tahun lalu untuk berulang alik menjalankan urusan harian.
Jambatan kayu merentangi Sungai Jelai itu dibina oleh pengusaha balak dan perladangan yang mengangkut hasil keluar ke bandar Jerantut dan Kuala Lipis.
Berikutan kejadian itu, suasana Hari Raya Aidiladha tahun ini muram apabila penduduk tidak dapat menjalani ibadah korban dan mengunjungi sanak saudara.
Kejadian itu juga menjejaskan usaha membawa keluar hasil pertanian seperti getah dan kelapa sawit ke bandar manakala sebahagian penduduk lagi tidak dapat pergi ke kebun masing-masing.
Ketua Kampung Gemuncur, Ismayatim Salleh berkata, jambatan itu runtuh apabila air banjir Sungai Jelai yang menghanyutkan sampah-sarap dan kayu besar tersangkut pada tiang jambatan menyebabkan bahagian tengahnya tidak dapat bertahan sehingga terputus dua.
''Kami di sini terkandas untuk membawa keluar hasil kampung dan berbelanja ke pekan Mela, bandar Jerantut dan Kuala Lipis bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha," katanya.
Ismayatim berharap kerajaan dapat membina segera jambatan konkrit agar penduduk lebih selesa menyeberang Sungai Jelai dan tidak menghadapi kesukaran ketika musim banjir.
Seorang penduduk Kampung Gemuncur, Mohd. Safri Salleh, 30, berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah sudah lebih 10 kali jambatan itu runtuh apabila musim tengkujuh.
''Inilah satu-satunya laluan kami ke bandar dan membawa anak ke sekolah serta urusan harian. Setiap kali jambatan ini runtuh, kami tidak mempunyai alternatif lain untuk menyeberang sungai kecuali mengambil risiko menggunakan perahu menongkah arus Sungai Jelai yang deras dan merbahaya itu," tambahnya.
Seorang remaja, Amirul Haidil Ismail, 18, berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk membawa hasil getah dan kelapa sawit dari kawasan pertanian seluas 800 hektar di tujuh kampung berkenaan.
''Kami menghadapi kesukaran memunggah hasil getah kerana hanya ada sebuah bot beroperasi di sini manakala pengusaha kelapa sawit terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat mengeluarkan hasil ke kilang," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu membina sebuah jambatan konkrit untuk keselesaan penduduk menyeberang Sungai Jelai selain mengelakkan daripada kejadian tidak diingini jika menggunakan sampan dan bot.
Sementara itu Penghulu Mukim Cheka Satu, Ab. Lah Mat Isa, berkata, penduduk di tujuh kampung itu menggunakan jambatan kayu yang dibina oleh pengusaha balak sejak 20 tahun lalu.
''Pada tahun ini sahaja, dua kali jambatan itu runtuh dihanyutkan banjir sehingga menimbulkan kesukaran kepada penduduk dan pelajar ke sekolah di Mela dan Kerambit.
''Saya difahamkan pihak pentadbiran daerah telah mengemukakan perancangan pembinaan projek jambatan baru bernilai RM12 juta dan diharap dapat direalisasikan dengan segera untuk keselesaan penduduk," katanya.
Ab. Lah menambah, pembinaan jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu merupakan kaedah terbaik untuk memacu sektor pertanian di kawasan Seberang Sungai Jelai.

No comments:

Post a Comment