KUANTAN - Pertunjukan penyanyi rap kontroversi, Namewee yang dijadualkan Sabtu ini di sebuah pusat hiburan, di sini, dibatalkan apabila mendapat bantahan banyak pihak.
Pemilik pusat hiburan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Wong ketika dihubungi semalam mengesahkan perkara itu dan menyatakan ia berlaku akibat salah faham.
Beliau berkata, pengelola pertunjukan berkenaan sebelum ini datang menemuinya untuk menyewa premis berkenaan bagi pertunjukan seorang artisnya.
“Dia menawarkan harga yang tinggi, saya pun tidak tanya siapa artis itu,” katanya.
Wong berkata, dia hanya menyedari artis berkenaan ialah Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee setelah kain rentang pertunjukan itu digantung di premisnya, Isnin lalu.
Lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang membantah pertunjukan individu itu yang pernah mencetuskan kontroversi mempersendakan lagu Negaraku dalam sebuah laman sesawang pada 2007 selain menghasilkan klip video yang mencerca guru serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.
Wong berkata, dia juga dinasihatkan polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) supaya membatalkan pertunjukan itu.
Pemilik pusat hiburan itu juga mempamerkan kain rentang memaklumkan pembatalan pertunjukan berkenaan.
Sementara itu di Temerloh, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang membantah sekeras-kerasnya pertunjukan itu kerana bimbang akan mencetuskan perkara tidak diingini.:
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimmi Samat berkata, bantahan itu bukan bersifat perkauman, tetapi bagi menjaga keamanan kerana sebelum ini pemuda terbabit pernah mengguris perasaan rakyat negara ini.
“Kita mahukan penghibur yang baik, bersih dan berakhlak mulia serta boleh menjadi idola kepada semua kaum,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment