MELAKA - Enam sekeluarga yang sedang berehat sambil menonton televisyen sempena cuti Hari Raya Aidiladha semalam terkejut apabila rumah yang didiami mereka tiba-tiba bergegar selepas tebing parit bersebelahan rumah mereka di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini runtuh.
Panik dengan gegaran yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu, kesemua mereka bergegas keluar rumah bagi menyelamatkan diri walaupun pada ketika itu hujan lebat.
Pemilik rumah berkenaan Zamie Saat, 37, berkata, dia sekeluarga terkejut apabila tiba-tiba mendengar bunyi kuat sebelum rumahnya bergegar lalu meminta isteri dan anak-anaknya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
"Pada mulanya saya sangka rumah saya akan runtuh.
"Setelah keluar, baru kami tahu rupa-rupanya tebing parit sebelah rumah runtuh," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Zamie memberitahu, runtuhan tebing parit itu turut menyebabkan kaki lima rumahnya sepanjang 10 meter rosak teruk.
No comments:
Post a Comment