KUALA TERENGGANU: “Kami langsung tidak pernah berniat meminggirkannya, malah ibu puas berusaha mencuba pelbagai cara termasuk rawatan tradisional, namun sikap ganasnya tidak pernah berubah sehingga sekarang,” ’kata Ahmad Baharudin, 21 adik bongsu Ahmad Shaari Mohamed, 27, yang menyerang ibu kandungnya Ahad lalu.
Ahmad yang bekerja sebagai buruh di Kijal berkata, sikap agresif abang sulungnya itu semakin menjadi-jadi dan beberapa kali mengamuk di tempat kerja ibu semata-mata mahu mendapatkan wang.
“Kalau di rumah, parang dan pisau dianggap seperti mainannya yang sering diacu kepada ibu dan adik-beradik lain jika permintaannya tidak dipenuhi.
“Penyakit mental abang disebabkan serangan demam panas ketika kecil dan ibu kerap menangis memikirkan sikap Ahmad Shaari yang semakin buas dari hari ke hari,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 60 tahun meminta pihak tertentu ‘mengambil’ anaknya yang menghidap sakit mental untuk ditempatkan di pusat pemulihan atau rumah kebajikan.
Rakiah Ngah, tukang sapu dari Kampung Laut di sini, berkata dia hilang punca untuk mengawal anaknya yang berperangai pelik dan semakin ganas sehingga sanggup mencederakannya.
Walaupun amat menyayangi anaknya, dia bimbang jika dibiarkan, keselamatan keluarga serta orang ramai boleh terancam.
Rakiah yang pernah diserang di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Ahad lalu ketika bertemu anaknya itu untuk mendapatkan beg yang dicuri Ahmad Ashaari bernasib baik kerana sempat memberitahu anggota polis di pondok berhampiran yang menyelamatkannya.
Polis menahan anaknya itu, tetapi terpaksa membebaskannya kerana Ahmad Ashaari mempunyai kad pesakit mental.
No comments:
Post a Comment