MELAKA 18 Nov. - Gara-gara seekor daripada 20 lembu yang hendak disembelih tiba-tiba terjun dari sebuah lori sebelum merempuh pagar, majlis korban berkelompok di Padang Temu di sini, semalam kecoh seketika.
Ini kerana, orang ramai yang hadir menyaksikan majlis korban sempena Aidiladha itu terpaksa menyelamatkan diri daripada dirempuh oleh lembu yang tiba-tiba naik minyak.
Begitupun, setengah jam selepas itu lembu terbabit ditangkap semula dengan kerjasama orang ramai.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, lembu berkenaan tanpa disedari terlepas daripada ikatan ketika berada di atas lori sebelum diturunkan untuk disembelih.
Penganjur program itu, Muhammad Akram Abdullah berkata, lembu terbabit terjun dari lori sebelum berlari merempuh pagar dan khemah hingga menyebabkan orang ramai yang menunggu giliran untuk mengambil daging korban bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Keadaan kembali tenang apabila lembu tersebut berjaya ditangkap semula oleh beberapa petugas program dengan kerjasama orang ramai.
"Kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku sepanjang program korban kelompok secara tradisi yang dianjurkan oleh keluarga saya sejak berpuluh-puluh tahun dulu.
"Saya bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, '' katanya ketika ditemui di Padang Temu di sini, semalam.
Akram berkata, walaupun kejadian itu mengejutkan orang ramai tetapi ia tidak menjejaskan program tersebut yang tetap berjalan lancar.
Sebanyak 20 ekor lembu termasuk tiga ekor kambing disembelih pada majlis berkenaan dan dihadiri kira-kira 3,000 peserta termasuk dari Singapura.
Katanya, program itu menjadi tradisi yang diamalkan ahli keluarganya demi merapatkan hubungan silaturahim dengan penduduk setempat.
Ujarnya, konsep program korban berkelompok adalah untuk menyemai kesedaran di kalangan masyarakat supaya bersama-sama menghayati ibadah korban yang dilakukan secara bergotong-royong.
"Program seperti ini juga menjadi salah satu tanggungjawab sosial dan bertepatan dengan semangat persaudaraan sesama muslim," ujarnya.
Menurutnya, daging korban berkenaan diagihkan kepada 90 fakir miskin yang terdapat di sekitar Padang Temu.
No comments:
Post a Comment