Friday, November 19, 2010

Lima beradik yatim rayu dapatkan MyKad


LIMA beradik malang yang tidak mempunyai MyKad menunjukkan sijil kelahiran mereka di rumah abang mereka di Kampung Bersia Lama, Gerik, Perak, semalam. – BERNAMA


GERIK 18 Nov. – Lima beradik yang kematian bapa dan kini ditinggalkan ibu sejak tujuh bulan lepas merayu pihak yang bersimpati tampil membantu mereka untuk mendapatkan MyKad bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah.
Mereka juga merayu agar ada pihak yang sudi membantu mereka untuk menyambung belajar.
Bapa adik beradik itu, Awang Bakar Jusoh meninggal dunia pada 2 Oktober 2008 di Kuala Lumpur.
Nur Syafiqah Abdullah, 14, memiliki sijil lahir tetapi gagal mendapatkan MyKad kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganggap dia bukan warga negara dan disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan, dia tidak dibenarkan masuk ke tingkatan satu.
“Saya dan adik beradik berlainan bin dan binti kerana JPN kata surat nikah ibu dan ayah palsu, jadi kami diletakkan dengan bin atau binti Abdullah.
“Hanya dua adik, Nur Syahidah (11 tahun) dan Muhammad Azhar (9 tahun) berbin dan berbintikan ayah iaitu Awang Bakar,” katanya ketika ditemui di sini.
Berikutan gagal diterima memasuki ke tingkatan satu sejak 2009, Nur Syafiqah kini tercicir dua tahun pengajiannya dan sepanjang tempoh itu dia hanya tinggal di rumah.
Bagaimanapun, menurut Nur Syafiqah dia tetap membaca buku rakan-rakannya yang bersimpati dan sering mengikuti perkembangan melalui berita di televisyen.
Menurut Nur Syafiqah sebelum itu, dia belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Rampai di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur, dari darjah satu hingga enam.
Adiknya, Muhammad Aidil Fitri, 5, masih belum mempunyai sijil kelahiran.
Nur Syafiqah dan empat adiknya kini menumpang di rumah abang mereka yang berlainan ibu, Mohd. Irwandi Awang Bakar di Kampung Bersia Lama, Bersia di sini.
Mohd. Irwandi, seorang nelayan kecil Tasik Banding yang hanya memperoleh pendapatan tidak seberapa, turut menanggung seorang isteri dan seorang anak.

No comments:

Post a Comment