MELAKA: Cara hidup negatif pekerja industri warga asing dari Nepal, Bangladesh dan Vietnam yang menyewa rumah di Taman Ayer Keroh Height, Ayer Keroh, dekat sini, menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk tempatan.
Selain berkongsi sehingga 20 orang dalam sebuah rumah yang dijadikan asrama, pekerja asing terbabit tidak menjaga kebersihan selain kerap membuat bising dan bergaduh.
Keadaan bertambah buruk apabila mereka melakukan perbuatan memalukan apabila mandi di luar rumah dalam keadaan separuh bogel dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.
Difahamkan, masalah terbabit berlarutan sejak sekian lama, namun belum diatasi sepenuhnya apabila pekerja asing terbabit ‘keras kepala’ dan enggan mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan mahupun menghormati adab dan budaya masyarakat tempatan.
Susulan aduan penduduk di taman itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Kamarudin Md Shah mengarahkan satu operasi pendatang tanpa izin dijalankan di kawasan terbabit, baru-baru ini.
Operasi bermula jam 8 malam disertai seramai 69 orang anggota dari MPHTJ, Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa (BPPA) Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri.
Ia diketuai Pengarah Penguat Kuasa MPHTJ, Mohd Sham Dali dan Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Muhammad Munir Sharabudin bertujuan memastikan semua warga asing yang bekerja di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mempunyai permit dan pasport selain aspek kebersihan dan keselamatan penduduk terjamin.
Sepanjang operasi, sebanyak 21 rumah di Lorong Setia 1 dan 3 di taman berkenaan diserbu dan dua rumah didiami penghuni warga Vietnam, Bangladesh (sebuah) dan Nepal (18 buah).
Rumah terbabit dihuni ramai warga asing yang bekerja di kilang memproses makanan berhampiran di Taman Perindustrian Ayer Keroh.
Pelbagai karenah warga asing khususnya lelaki antaranya ada yang mandi dengan hanya memakai seluar dalam di luar rumah beramai-ramai sambil membasuh pakaian tanpa mempedulikan kehadiran anggota penguat kuasa.
Selain itu, keadaan rumah terbabit amat menjijikkan dan kotor serta berbau busuk dengan pakaian bergantungan di dinding dan tingkap serta katil, tandas tersumbat, peralatan memasak berselerakan dan sampah-sarap bertaburan.
Kamarudin berkata, dalam operasi itu, seramai 360 warga Nepal, 40 warga Vietnam dan 20 warga Bangladesh diperiksa dan semua mereka didapati mempunyai dokumen serta permit yang sah.
Katanya, walaupun tiada tangkapan dilakukan, pihaknya memandang serius pelbagai masalah timbul di penempatan warga asing terbabit.
“Operasi seumpamanya akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencegah kebanjiran pendatang tanpa izin selain mencegah pelbagai masalah berkaitan termasuk kebersihan bagi menjamin keselesaan dan kesihatan penduduk,” katanya.
No comments:
Post a Comment