Friday, November 19, 2010

Tempat sampah sebelah flat

SHAH ALAM: Bau hanyir dan busuk, sampah diselongkar, banyak ulat dan kotor adalah masalah bakal dihadapi pemilik pangsapuri Andora, Taman Sri Muda, di sini berikutan cadangan pihak tertentu untuk membina tempat membuang sampah baru berhampiran bangunan itu tidak lama lagi.
Setakat ini, kawasan menempatkan tong sampah baru itu sudah dibersihkan dan dijangka pembinaan akan dimulakan selepas Aidiladha ini.

Beberapa pemilik rumah mempersoalkan kewajaran pembinaan dan penempatan tong sampah itu kerana di kawasan berkenaan pemaju sudah menyediakan rumah sampah yang luas untuk kemudahan penduduk membuang sampah.

Walaupun kedudukan kira-kira 50 meter dari bangunan pangsapuri ini tetapi ia dianggap munasabah untuk keselesaan penghuni kerana terhindar dari bau busuk.

Seorang pemilik rumah, Norzila Ali, 39, berkata tindakan membina tapak tong sampah baru berhampiran rumahnya langsung tidak mengambil kira keselesaan orang lain.

“Apa guna tong sampah baru sedangkan rumah sampah disediakan sudah ada dan mampu untuk menampung keperluan penduduk. Yang menjadi masalah, tong sampah berkenaan bukan diisi dengan sampah domestik sebaliknya dibuang dengan pelbagai sampah lain termasuk kayu, perabot buruk dan serpihan bangunan.

“Kenapa ini berlaku? jawapannya tiada pemantauan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ke mana perginya penguat kuasa adakah mereka lebih selesa berada di pejabat berhawa dingin daripada menguatkuasakan undang-undang yang ada,” katanya.

Seorang penyewa pula, Mazira Malek, 43, berkata jika kawasan tong sampah baru itu dibina apakah jaminan tidak akan menimbulkan masalah pencemaran bau kepada penghuni yang tinggal berhampiran.

Katanya, MBSA sebagai penguasa tempatan perlu memainkan peranan dan sentiasa memantau apa yang berlaku dalam kawasan pentadbirannya.

“Tolonglah prihatin dan bertimbang rasa dengan keselesaan kami yang tinggal di pangsapuri ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi berjanji menyemak status pembinaan yang dikatakan. Ini kerana ia ada kemungkinan milik pemaju.

No comments:

Post a Comment