Friday, November 19, 2010

Resah lapan tahun tiada CF

BANTAH...sebahagian penduduk Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang memprotes pemaju.
BANTAH...sebahagian penduduk Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang memprotes pemaju.


AMPANG: Kira-kira 10,000 penduduk Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang, di sini, berdepan risiko ‘mati katak’ berikutan rumah mereka duduki sejak lapan tahun lalu tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF).
Penduduk mendakwa pinjaman mereka diluluskan untuk membeli pangsapuri berharga kira-kira RM41,000 itu kerana mempunyai CF sementara bagi tempoh enam bulan pertama.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Blok E, Sulaiman Yaacob, berkata keadaan itu boleh mengundang pelbagai kejadian buruk sekiranya berlaku situasi kecemasan termasuk kebakaran kerana mereka tidak berhak membuat tuntutan.

“Ketika ini tiada kejadian buruk berlaku, mana tahu pada masa akan datang kejadian tidak diingini menimpa rumah, jadi kami tiada hak untuk membuat tuntutan.

“Lagipun, kami tak mampu menuntut apa-apa termasuk insurans kebakaran dan kemalangan walaupun rumah ini dibeli hasil titik peluh sendiri,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Seri Nilam, di sini, semalam.

Sulaiman berharap, pihak terbabit mengambil serius hal itu dengan memberi CF kepada rumah mereka.

Pengerusi Penyelaras KRT, Abdul Rahim Ismail, berkata ketiadaan CF menyebabkan penduduk langsung tiada jaminan keselamatan dan mereka berdepan risiko ‘mati katak’.

“Kami berkeluarga. Disebabkan ketiadaan sijil itu membuatkan kami rasa tidak selamat untuk menduduki pangsapuri ini.

“Aduan sudah dibuat kepada pihak pengurusan dan pihak berkuasa, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Katanya, selepas tamat CF sementara pada 2002, pemaju sepatutnya membuat CF baru bagi rumah berkenaan, tetapi ia tamat begitu saja.

“Penduduk berhak untuk mendapatkan CF kerana rumah ini milik kami dan setiap bulan membayar bil perkhidmatan yang disediakan pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad, berkata rumah berkenaan mempunyai Sijil Layak Duduk Sementara (TCF) dan pemaju seharusnya memohon CF daripada pihaknya dalam menjamin keselamatan penduduk.

“Kami nasihatkan pemaju memohon CF dengan mengikut syarat MPAJ,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment