IPOH: “Segala bukti termasuk gambar yang didedahkan ahli keluarga kanak-kanak perempuan itu bukan milik saya. Sekali imbas, memang wajah arwah bapa kanak-kanak itu ada iras muka saya.
“Dia (arwah bapa kanak-kanak itu) mungkin peminat tegar saya sehingga bergaya dan meniru gaya saya seperti yang ditunjukkan dalam gambar berkenaan. Tetapi, yang pasti dia bukan saya.” Demkian kata pemain gitar bass kumpulan May, Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48, atau dikenali dengan nama Yus mengenai dakwaan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bernama S bahawa Yus ayahnya dan meninggal dunia lima tahun lalu akibat Aids.
Mohd Mokhtar berkata, dia terkejut selepas namanya dikaitkan dengan kanak-kanak terbabit seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 15 November lalu.
“Berita itu tidak benar dan ia membuatkan saya tersentak berikutan ia boleh menyebabkan reputasi kumpulan May tercalar.
“Saya tidak kenal kanak-kanak itu dan kenyataannya tidak betul. Malah, nama Md Nor yang didakwa nama bapa kanak-kanak itu berlainan dengan nama saya. Saya tidak pasti dari mana cerita tidak benar ini timbul, namun perkara ini perlu dijelaskan,” katanya ketika ditemui.
Yus berkata, apa yang pasti dia, isteri bersama tiga anak berusia tujuh hingga 21 tahun masih sihat walafiat dan hidup bahagia di bandar ini.
No comments:
Post a Comment