Friday, November 19, 2010

Roboh lagi


Oleh Amir Hamzah Nordin 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/19

JAMBATAN  Sungai Jelai yang menghubungkan 12 kampung terputus selepas dirempuh balak ketika arus deras.
JAMBATAN Sungai Jelai yang menghubungkan 12 kampung terputus selepas dirempuh balak ketika arus deras.
Jambatan kayu merentasi Sungai Jelai perlu diganti konkrit 

KUALA LIPIS: Kira-kira 1,000 penduduk dari 12 kampung di pesisiran Sungai Jelai berdekatan Kampung Gemunchor meminta sebuah jambatan konkrit dibina di situ bagi menggantikan jambatan kayu yang sering roboh setiap kali musim tengkujuh.Jambatan konkrit itu penting bagi mereka kerana ia juga dapat menyediakan kemudahan lebih baik kepada penduduk untuk meningkatkan ekonomi setempat.
Ini disebabkan ketika ini mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jambatan kayu untuk membawa keluar hasil tani seluas kira-kira 800 hektar yang dilaksanakan penduduk kampung dengan pelbagai tanaman dan Estet Mini RISDA seluas kira-kira 100 hektar tanaman kelapa sawit. 

Jambatan kayu yang merentangi Sungai Jelai hampir 20 tahun itu yang juga nadi utama perhubungan penduduk itu bagaimanapun kerap runtuh setiap kali hujan lebat yang akan membawa arus deras dan menghanyutkan sisa balak yang akhirnya akan menghentam tiang jambatan kayu hingga roboh. 

Penduduk 12 kampung itu antaranya Kampung Baru Gemunchor, Kampung Kemunchor, Kampung Tanjung Jelai, Kampung Batu Bor, Kampung Batu Tunggal, Kampung Batu Balak, Kampung Tulus, Kampung Mempelas, Kampung Tanjung Aur, Kampung Kuala Kenong, Kampung Jeram Bungor Seberang dan Kampung Kecau kini terputus lagi hubungan apabila jambatan itu sekali lagi roboh awal pagi Selasa lalu. 

Ketua Penerangan Belia 4B Penerus Gemilang dan Mela, Mohd Safri Salleh, 30, berkata pembinaan jambatan baru itu perlu disegerakan kerana selain untuk kegunaan perhubungan, ia dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. 
“Estet mini RISDA akan lebih aktif dengan ramai pengusaha kampung berdekatan dan pekebun dari beberapa kampung berkenaan yang mempunyai kebun di kawasan itu dapat memasarkan hasil pertanian mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Belia Penerus Gemilang dan Mela, Amirul Haidil Ismail, 19, berkata ramai belia turut mengerjakan kebun getah di Kampung Gemunchor dan jambatan itu sebagai nadi untuk mereka bergerak ke seberang. 

“Sejak jambatan ini runtuh, kami tidak dapat mengerjakan kebun kami kerana kesukaran ke seberang dan cara lain hanyalah dengan menggunakan perahu untuk menyeberang sungai kira-kira 300 meter dengan meredah arus deras yang merbahaya,” katanya. 

Penghulu Mukim Cheka 1, Abdullah Mat Isa, berkata beliau bimbang penduduk di situ makin berkurangan dan terus ketinggalan serta mungkin berpindah jika jambatan lama masih belum diganti dengan konkrit. 

“Jika hal ini berlarutan, mungkin kampung berkenaan menjadi kampung tinggal dan semua hasil pertanian mereka akan ditinggalkan serta mewujudkan masalah baru seperti kadar kemiskinan meningkat,” katanya. 

No comments:

Post a Comment