Thursday, December 9, 2010

Melacur untuk hidup mewah


PULAU PINANG 8 Dis. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) percaya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat dengan kegiatan pelacuran disebabkan keinginan mereka untuk hidup mewah.
Naib Presiden (Hal Ehwal Wanita) GPMS, Rafidah Mohd. Ariffin berkata, pihaknya juga percaya faktor mahu menyara kos kehidupan bukannya alasan utama penuntut terbabit.
Beliau menambah, meskipun masalah tersebut merupakan kes terpencil, ia harus diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak berkaitan.
"GPMS berpendapat kes-kes sebegini adalah terpencil tapi harus diberi perhatian yang serius.
"Alasan untuk menyara hidup bukanlah alasan utama tetapi lebih kepada untuk hidup mewah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr. Jaina Sintian baru-baru ini mendedahkan bahawa ada pelajar IPT terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka.
Jaina dilaporkan berkata, kebanyakan yang terlibat datang daripada keluarga bermasalah seperti berlaku perceraian ibu bapa menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat bergantung bagi menanggung kos pengajian.
Menurut Rafidah, setakat ini belum ada fakta tepat atau tangkapan dibuat terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh penuntut luar negara yang belajar di institusi pengajian tinggi swasta.
"GPMS sedia bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, polis dan pihak media bagi menangani isu ini," katanya.

No comments:

Post a Comment