2011/01/17
KUALA LUMPUR: Peguam, Ng Kian Nam, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan. "Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.Sebelum sidang media itu, Raja Nong Chik mengadakan perbincangan tertutup dengan Ng, Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah Ikram Mohd Yusof dan wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA).
Dalam satu memorandum bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.
Berikutan itu, PERKASA dan PEKIDA telah mengadakan protes di perkarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.
Ng berkata, beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.
Raja Nong Chik pula berkata, isu itu sewajarnya tidak diperbesarkan kerana ia adalah salah faham yang tidak disengajakan dan menjadikan insiden itu sebagai iktibar.
Beliau juga meminta permohonan maaf Ng diterima oleh semua pihak.
Mengulas dakwaan terdapat arahan daripada pihak atasan yang meminta pihak masjid memperlahankan suara azan berikutan aduan Ng itu, Raja Nong Chik menafikan kewujudan arahan itu.
"Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sendiri menafikan bahawa adanya arahan tersebut dan saya sendiri tidak tahu-menahu mengenainya," katanya yang gembira dengan permohonan maaf Ng dan sikap terbuka dua NGO Melayu yang sebulat suara menerima permohonan maaf tersebut. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment