2011/01/09
KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan pagi ini bertambah buruk apabila bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan meningkat kepada 3,441 orang manakala keadaan banjir di Terengganu semakin pulih. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata, sebanyak 27 pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan semua mangsa banjir dari enam daerah iaitu Bachok, Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat."Sehingga jam 8.30 pagi ini, mangsa banjir terus meningkat kepada 3,441 orang berbanding 2,777 orang malam semalam, membabitkan 1,011 keluarga," katanya di sini hari ini.Jurucakap itu berkata, daerah Pasir Mas paling teruk terjejas dengan 16 pusat pemindahan dibuka manakala enam pusat di Kota Baharu, dua pusat di Tumpat dan masing-masing satu di Bachok, Pasir Puteh dan Tanah Merah.
Enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan di daerah Pasir Mas iaitu KM3 Jalan Pengkalan Rakit, KM9 Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan lama) Kampung Siram, Pohon Tanjung-Meranti, KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, KM23 Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 dan KM24 Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang.
Jurucakap itu berkata, paras air Sungai Golok masih melebihi paras bahaya 9 meter bagaimanapun telah turun kepada 10.22 meter berbanding 10.32 meter yang dilaporkan semalam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment