Sunday, January 9, 2011

Rantau Panjang putus hubungan

myMetro | Rantau Panjang putus hubungan
KOTA BHARU: Banjir di Kelantan semakin buruk petang semalam apabila bandar Rantau Panjang kini terputus hubungan akibat ditenggelami air sedalam satu meter.
Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kini mencecah 2,084 orang di seluruh Kelantan berbanding 1,571 pada sebelah pagi.

Semua premis perniagaan di bandar Rantau Panjang yang bersempadan dengan Bandar Golok, Selatan Thailand dengan hanya dipisahkan oleh Sungai Golok, kini tidak beroperasi setelah digenangi air sejak lewat malam kelmarin.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata, sehingga jam 3 petang semalam seramai 2,084 mangsa membabitkan 606 keluarga di daerah Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat diarah pindah berikutan kawasan kediaman mereka ditenggelami air.

Jumlah pusat pemindahan yang dibuka kini berjumlah 23 berbanding 19 pusat sebelah pagi.


Beliau berkata, enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu lima di daerah Pasir Mas dan satu di Tumpat.

“Laluan yang ditutup ialah di KM3 Jalan Pengkalan Rakit (Pasir Mas), KM9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Pasir Mas), Jalan Pohon Tanjung-Meranti (Pasir Mas), KM3 Jalan Tendong- Bunut Susu-Gelang Mas (Pasir Mas), KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu (Pasir Mas) dan KM9 Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/ Meranti (Tumpat),” katanya.

Jurucakap berkata, paras Sungai Golok masih bertahan di paras 10.28 meter, melebihi paras bahaya 9 meter, manakala sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga.

Di TERENGGANU, keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan kepada 388 petang semalam berbanding 580 sebelah pagi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, mangsa banjir di Besut menurun kepada 121 berbanding 176 pagi semalam dan di Hulu Terengganu hanya 47 mangsa berada di pusat pemindahan.


Di daerah Setiu, daripada 295 orang pada sebelah pagi berkurangan kepada 180 orang dan di daerah Kemaman hanya tinggal 24 orang mangsa di pusat pemindahan, manakala di Marang jumlah mangsa banjir kekal sembilan orang dan di daerah Dungun tujuh orang.


Jurucakap berkata, jalan utama Terengganu untuk ke Kuantan dan Kota Bharu masih dibuka kepada semua kenderaan.


Katanya, hanya 18 pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi setelah empat pusat ditutup dan lebih ramai mangsa dijangka pulang ke rumah memandangkan hujan lebat yang berlarutan sejak Khamis lalu, sudah berhenti.


Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan, paras air di kebanyakan sungai utama menunjukkan penurunan, kecuali di dua sungai yang berada pada paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit pada paras 13.13 meter (bahaya 12.00 meter) dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri 8.65 meter (bahaya 8.50 meter).


Di PAHANG, keadaan banjir di daerah Kuantan hampir pulih sepenuhnya apabila hanya 18 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir.


Menurut jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka membabitkan empat keluarga dari Kampung Chendor Tengah yang ditempatkan di Balai Raya Chendor.


“Pada pagi tadi (semalam), 188 orang ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir, namun sehingga 4 petang, semua mereka terbabit dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kecuali 18 orang di Balai Raya Chendor,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment