Sunday, January 9, 2011

Perjalanan terakhir

myMetro | Perjalanan terakhir
REMUK... Ahmad Lazim melihat kereta yang meragut nyawa anaknya. Gambar kecil, Syahirah Ahmad Lazim.
REMUK... Ahmad Lazim melihat kereta yang meragut nyawa anaknya. Gambar kecil, Syahirah Ahmad Lazim.


JASIN: Kepulangan seorang pelajar ke kampung di Rengit, Batu Pahat untuk mendapatkan tandatangan bapanya bagi permohonan pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi perjalanan terakhir apabila terbabit dalam kemalangan ngeri, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, Syahirah Ahmad Lazim, 19, penuntut Diploma Kejururawatan Kolej Segi, Kuala Lumpur mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta, Zari Affendi Harun, 33, cedera parah di kaki kiri dan patah rusuk kiri.

Kejadian berlaku di Kilometer 187.1 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Selatan, dekat sini, apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler dalam perjalanan ke Johor Bahru sebelum terbabas.

Bapa mangsa, Ahmad Lazim Kasim, 53, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan anak kedua daripada enam beradik itu terbabit dalam kemalangan oleh penduduk kampung jam 4.15 pagi.

Menurutnya, dia yang baru terjaga daripada tidur turut dimaklumkan Syahirah sudah tiada selepas identiti anaknya dikenal pasti seorang anggota polis yang melakukan siasatan di tempat kejadian.


“Isteri (Noriah Basri, 48) sedih mendengar berita memilukan itu kerana arwah menghubungi saya kira-kira jam 7 malam semalam (kelmarin) memaklumkan dia mahu pulang ke kampung (Jambi Darat, Rengit, Batu Pahat).

“Dia memaklumkan mahu pulang untuk mengisi borang pinjaman pelajaran PTPTN bersama kawan, tetapi tidak memberitahu akan pulang menaiki apa kerana seperti biasanya arwah pulang dengan menaiki bas.

“Saya juga tidak menyangka dia kini pergi buat selama-lamanya namun reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jasin, di sini.

Malah, katanya, impian anak perempuannya untuk bergelar jururawat juga tidak kesampaian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Zari Affendi melanggar belakang sebelah kanan treler membawa muatan minyak masak sebelum hilang kawalan lalu terbabas.

No comments:

Post a Comment