PETALING JAYA - Kehidupan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain kini lebih terhad bukan kerana kesihatannya tetapi risau akan keselamatan apabila kontroversi Interlok hangat diperkatakan.
Isterinya, Datin Siti Soroja Basri, 65, berkata, beliau dan anak-anak mengehadkan pergerakan suaminya terutamanya ketika waktu pagi kerana risau diganggu oleh mereka yang tidak berpuas hati terhadap isu ini.
Katanya, sebelum ini setiap pagi beliau akan membawa Abdullah ke halaman rumah membaca akhbar dan menghirup udara segar.
"Saya risau ada orang yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara yang tidak diingini berlaku, jadi lebih baik saya mengambil tindakan awal.
"Kesihatan beliau agak merosot sejak enam bulan kebelakangan ini, dia banyak menghabiskan masa di atas kerusi roda sahaja, bagaimanapun penglihatannya masih lagi jelas dan boleh mengingatinya sebarang isu," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum itu, beliau yang kelihatan agak lesu hanya mampu menjawab soalan kami dengan menggunakan tulisan tangan sahaja kerana mengalami masalah pendengaran kesukaran bercakap.
Siti Soroja berkata, sejak isu berkenaan diperkatakan kesihatan Abdullah agak menurun sedikit dan kelihatan gelisah hinggakan beliau terpaksa memberikan ubat tidur bagi menenangkan suaminya.
"Sehari selepas itu, keadaan beliau semakin pulih dan beliau kembali seperti sediakala.
"Ini berlaku apabila dia mendapat tahu bukunya itu dibakar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dia mengatakan setiap buku yang diterbitkan seolah-olah anak baru lahir, itulah menunjukkan betapa sayangnya beliau kepada penulisannya," katanya.
Ketika ditanya tindakan beliau perbuatan berkenaan, Siti Seroja berkata, kelebihan yang ada pada Abdullah adalah tidak menyimpan dendam walaupun pelbagai desakan dilakukan terhadapnya dan menganggap ini adalah ketentuan hidup.
No comments:
Post a Comment