Sunday, January 16, 2011

Mimpi indah isteri Taib jadi kenyataan




2011/01/16

KUCHING: Lima bulan lalu, Puan Sri Ragad Walled Alkurdi, bermimpi berkahwin dengan Raja Abdullah dari Arab Saudi dan menaiki kereta Rolls Royce dalam satu majlis penuh gilang gemilang. 

Kini, mimpi wanita kelahiran Damsyik, Syria itu menjadi kenyataan apabila beliau diarak menaiki Rolls Royce ke majlis persandingannya dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, juga dalam suasana penuh gilang gemilang, malam tadi.
Anak kedua Abdul Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, ketika berucap pada majlis resepsi perkahwinan pasangan pengantin baru itu di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, berkata Ragad memberitahunya mengenai mimpi itu, baru-baru ini.
Beliau ingin berkongsi mimpi indah itu dengan kita malam ini, katanya sambil tersenyum ke arah pasangan mempelai dan menambah majlis resepsi itu bertambah manis kerana disambut serentak ulang tahun kelahiran Ragad ke-31. 

Katanya lagi, mimpi indah Ragad mungkin tidak menjadi kenyataan jika ibu saudaranya, Datuk Roziah Mahmud dan suami, Datuk Robert Geneid tidak memperkenalkan wanita jelita itu kepada bapanya. 

Majlis resepsi turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa Menteri Kabinet Persekutuan dan negeri. Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan. 

Ragad, anak bongsu pasangan Waleed dan Khayam Alkurdi dan mempunyai dua abang serta seorang kakak, dilahirkan di Damsyik sebelum berhijrah ke Riyadh ketika usia muda. Bapanya meninggal dunia pada 2003.

No comments:

Post a Comment