Sunday, February 27, 2011

Bakal Ratu Cantik Amerika diusir






DENVER, Amerika Syarikat (AS) 26 Feb. - Calon Miss USA mempunyai cerita sedih tersendiri walaupun dia baru sahaja donobatkan sebagai Ratu Colorado.
Blair Griffith (gambar) kehilangan rumah tempat berteduh hanya beberapa bulan selepas dia dimahkotakan sebagai Ratu Colorado.
Griffith, 23, yang dijadual menyertai pertandingan ratu cantik Miss USA pada 19 Jun ini, diusir bersama-sama ibunya dari rumah mereka pada November lepas.
Dua beranak itu kini menumpang di rumah seorang sahabat keluarga.
Gadis itu juga dijadual kehilangan pekerjaannya di Saks Fifth Avenue apabila cawangan tempat dia bekerja ditutup terus pada bulan depan.
Walaupun dianugerahi kecantikan, Griffith kerap ditimpa kesusahan dalam kehidupannya, termasuk kematian bapanya akibat kanser semasa dia masih kanak-kanak, dan serangan sakit jantung yang dialami oleh ibunya beberapa tahun lalu.
"Kos pembedahan telah banyak menjejaskan kewangan keluarga," jelas gadis itu dalam satu wawancara, baru-baru ini.
Griffith berkata, dia melihat nasib malang yang menimpanya sebagai satu ujian untuk melihat sama ada dia dapat menangani dan mengatasinya.
Sejak beberapa bulan lalu, dia telah membincangkan keadaan hidupnya secara terbuka apabila berucap di sekolah dan acara tertentu.
Pagi semalam, Griffith muncul pada rancangan NBC, Today dan menjelaskan dia tidak menyedari dia dan ibunya akan diusir sehinggalah polis mengetuk pintu rumah mereka.
"Saya tidak ada tempat untuk mengadu mengenai segala perkara yang berlaku dalam kehidupan saya.
"Begitu ramai orang lain yang mengharungi situasi serupa dan saya berharap untuk menjadi inspirasi kepada mereka," katanya kepada Denver 9News. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment