2011/02/27
Calven Loke Wai, 30-an, yang ketika itu sibuk berkempen dalam pilihan raya kecil di Merlimau, Melaka mendapat berita menyayatkan hati itu daripada jirannya yang membuat panggilan pada jam 6.30 pagi."Saya yang berada di Merlimau terus bergegas pulang dan sampai kira-kira jam 8 pagi," katanya yang kali terakhir bertemu isteri dan anaknya dalam jam 8 pagi, kelmarin sebelum keluar bekerja. Mayat isterinya ditemui di atas katil, manakala anaknya ditemui di tepi katil dalam bilik yang sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang dikatakan tinggal bersama anaknya sedang tidur, manakala, Calven yang juga Pengerusi sukarelawan bomba di Jinjang dan Setiausaha Pemuda parti Gerakan Rakyat Malaysia Kuala Lumpur, berada di Merlimau.
Difahamkan, bomba sukar memasuki kawasan berkenaan apabila palang besi di taman terbabit dalam keadaan berkunci. Malah, turut menjadi tanda tanya apabila pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang dipertanggungjawabkan memegang kunci palang besi berkenaan dikatakan menghilangkan diri.
Calven juga berkata sebaik urusan pengebumian selesai, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak keselamatan taman berkenaan yang mengakibatkan bomba gagal memadam kebakaran dengan cepat.
Kebakaran dikatakan bermula dari ruang tamu rumah teres terbabit sebelum merebak di bahagian dapur dan bilik menyebabkan mangsa dua beranak yang berada dalam sebuah bilik utama terperangkap dan gagal keluar untuk menyelamatkan diri.
Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai A Anantha, 34, berkata beliau yang sedang tidur kira-kira jam 6 pagi itu terdengar satu letupan kuat, namun tidak mengendahkannya.
"Bagaimanapun, 10 minit kemudian, saya terhidu bau asap dan bergegas keluar dari rumah untuk memeriksa sebelum melihat kepulan asap dan api di rumah jirannya.
"Saya kemudian menghubungi bomba untuk bantuan, namun api yang marak terlalu cepat menyebabkan penduduk gagal menyelamatkan dua beranak itu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Othman Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.05 minit pagi sebelum mengerahkan dua jentera dan 27 anggota dari balai Jinjang dan Kepong ke lokasi kejadian.
"Mayat dua beranak itu ditemui berada di dalam bilik utama sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
"Operasi memadam kebakaran mengambil masa selama 30 minit dan hampir 80 peratus kediaman dua tingkat itu musnah dijilat api. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
No comments:
Post a Comment