Saturday, March 26, 2011

10 diplomat jalin hubungan sulit dihukum





2011/03/26

SEOUL: Korea Selatan mengesahkan 10 bekas diplomat dan yang masih berkhidmat di konsulatnya di Shanghai akan dihukum selepas penyiasatan mendapati mereka menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita China yang sudah berkahwin.

Sebilangan pegawai itu mengadakan pertemuan dengan wanita berusia 33 tahun di bilik hotel manakala selebihnya makan malam bersamanya sebagai balasan mendapatkan visa atau membocorkan maklumat sulit.
Wanita itu bertindak sebagai orang tengah bagi rakyat China untuk mendapatkan visa bekerja di Korea Selatan, kata pejabat perdana menteri.
Siasatan yang didedahkan pejabat itu mendapati ada diplomat mengeluarkan visa kepada rakyat China tanpa membuat penilaian terlebih dulu terhadap permohonan itu.

Dokumen dengan nombor telefon pegawai tinggi Korea Selatan turut bocor tetapi tidak dikira sebagai rahsia kerajaan. 

Semalam Kementerian Luar berkata, pihaknya akan bertindak segera dan tegas terhadap mereka yang terbabit.

Korea Selatan mula menyiasat perkara itu sejak dua minggu lalu selepas mendapat maklumat. 
“Siapa yang terbabit perlu dihukum dan pelbagai pendekatan perlu dinilai di pejabat diplomatik luar negara,” kata pejabat perdana menteri, mengesahkan tindakan disiplin akan diambil namun masih belum ditentukan.

“Insiden ini menunjukkan seriusnya masalah disiplin yang rendah di kalangan diplomat,” tambahnya.

Kes ini terbongkar apabila suami wanita itu yang juga rakyat Korea menulis kepada kerajaan di Seoul Januari lalu mengadu mengenai diplomat yang didakwa mengadakan hubungan intim dengan isterinya. – AFP/AP. 

No comments:

Post a Comment