Saturday, March 26, 2011

Presiden Syria janji beri kebebasan lebih luas



DERAA 25 Mac - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam berjanji untuk memberikan kebebasan lebih luas setelah meningkat kemarahan di kalangan rakyatnya ekoran tindakan pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 37 orang penunjuk perasaan.
Walaupun dijanjikan kebebasan dan kenaikan gaji kakitangan awam, beribu-ribu rakyat Syria keluar untuk melaungkan slogan 'kebebasan, revolusi' di pusat bandar Deraa, yang menjadi tumpuan protes menentang Parti Baath yang memerintah sejak 48 tahun lalu.
Assad telah mengarahkan kenaikan gaji kakitangan awam d Syria antara 20 hingga 30 peratus.
"Rakyat Syria tidak akan tunduk," laung mereka di kawasan masjid Omari, sejurus selepas pasukan keselamatan meninggalkan bangunan yang mereka gempur, kelmarin.
Tokoh pembangkang Syria berkata, janji-janji itu tidak memenuhi aspirasi rakyat dan tidak ubah seperti kenyataan yang diulang-ulang pada persidangan tahunan Parti Baath, di mana jawatankuasa parti itu akan dibentuk untuk mengkaji pembaharuan yang kesudahannya tidak dilaksanakan.
"Pucuk pimpinan cuba membendung kemarahan orang ramai, tetapi kami mahu melihat pembaharuan sebenar," kata seorang penunjuk perasaan di Deraa.
Ketika seorang pembantu kanan Presiden berkata, Assad akan mengkaji untuk menarik balik perintah darurat yang dikuatkuasakan sejak 48 tahun lalu, sebuah pertubuhan hak asasi manusia mendakwa seorang aktivis prodemokrasi terkemuka, Mazen Darwish ditangkap.
Penasihat Assad, Bouthaina Shaaban ketika mengumumkan rancangan pembaharuan pada sidang media semalam berkata, Presiden tidak mengarahkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Beliau juga berkata, Parti Baath akan merangka rang undang-undang yang memperuntukkan kebebasan media, selain membenarkan gerakan politik lain, serta berusaha untuk menaikkan taraf hidup.
Pihak berkuasa turut membebaskan semua penunjuk perasaan yang ditangkap di bandar Deraa sejak protes meletus, menurut satu kenyataan rasmi. - Reuters

No comments:

Post a Comment