Saturday, March 26, 2011

Rahim nafi ditahan



Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2011/03/26

Kes rakaman adegan seks 


  • Bekas Ketua Menteri Melaka beri keterangan


  • Bukti penting ditemui, wanita dalam video dicari KUALA LUMPUR: Bukit Aman semalam menahan dua individu dipercayai boleh membantu siasatan kes rakaman video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang wanita muda warga asing.

    Tanpa menyatakan identiti kedua-dua individu terbabit, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ghazali Md Amin, berkata polis juga memperoleh bahan bukti penting, termasuk salinan rakaman video berkenaan daripada mereka. 

    Katanya, salah seorang individu ditahan turut membawa polis ke sebuah bilik hotel mewah yang terletak di Daerah Dang Wangi dipercayai lokasi rakaman adegan seks berkenaan dilakukan. 

    "Unit Forensik dari Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras dihantar bagi membantu siasatan pasukan khas di tempat kejadian, termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas rakaman CCTV di hotel berkenaan pada tarikh dan masa kejadian," katanya kepada pemberita, di sini semalam. 
    Ghazali turut mengesahkan kedua-dua individu terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat dijalankan ke atas mereka, namun boleh dipanggil pada bila-bila masa bagi melengkapkan proses siasatan. 

    Penahanan kedua-dua individu terbabit menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan media dan orang ramai, termasuk mengaitkannya dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang membuat pendedahan berhubung rakaman video seks berkenaan. 

    Bagaimanapun, Rahim ketika dihubungi menafikan beliau salah seorang daripada dua individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan semalam. 

    "Mana ada saya ditahan... saya yang pergi sana (Bukit Aman) petang semalam (Khamis) untuk memberi keterangan, termasuk menyerahkan bahan bukti. Itu sekali saja saya pergi Bukit Aman dan sampai sekarang saya belum dipanggil (polis). Cerita fasal saya kena tahan ini mungkin timbul dari salah faham. 

    "Cerita fasal tangkapan ini atau siapa yang ditahan, semuanya saya percaya satu propaganda... tidak pastilah untuk tujuan apa sebenarnya. Yang paling penting sekarang, siapa pelakon dalam video itu. Bagi saya, itulah isu utamanya... itu yang rakyat mahu tahu," katanya. 

    Justeru, beliau meminta cerita mengenai penahanan atau penangkapan itu dihentikan segera kerana boleh membuatkan rakyat keliru dengan isu yang sebenarnya. 

    "Tidak timbul saya ditahan atau tidak... saya ke sana (Bukit Aman) hanya untuk beri kenyataan dan membantu siasatan polis. Persoalan utama sekarang, siapa yang muncul dalam video itu. Persoalan itu yang harus dijawab," katanya. 

    Rabu lalu, Rahim bersama Eskay dan seorang lagi rakan mereka, Datuk Shuib Lazim yang juga Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membuat pengakuan bahawa mereka adalah Datuk T atau Datuk Trio yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman video seks didakwa membabitkan Anwar kepada media. 

    Pengakuan itu menyusul tiga hari selepas sekumpulan media, termasuk wakil agensi berita asing dipertontonkan kepada rakaman adegan seks berkenaan di sebuah bilik dikawal rapi di Carcosa Sri Negara. 

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Polis Ke-204 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL), di sini semalam, berkata siasatan kes rakaman video seks membabitkan seorang lelaki yang didakwa mirip Anwar kini sedang dilakukan dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk mengenalpasti motif utama rakaman video berkenaan didedahkan. 

    Beliau berkata, siasatan itu bagi mengenalpasti identiti sebenar individu lelaki yang muncul dalam rakaman video selama 19 minit itu, termasuk wanita yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki terbabit, dipercayai dilakukan di sebuah bilik hotel mewah di ibu negara bulan lalu. 

    "Ini bagi memastikan kesahihan identiti lelaki terbabit... kita mahu tahu siapa dan bagaimana dia boleh berada dalam rakaman video itu. Hari ini adalah hari ketiga siasatan berlangsung. Jadi, kita semua pihak jangan buat apa-apa kesimpulan awal hingga boleh mengganggu proses siasatan. 

    "Biarkan pasukan khas kita mengumpul semua maklumat dan fakta melalui penyiasatan terperinci," katanya. 

    Dalam perkembangan lain, Shuib sudah pun berada di Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung pendedahan itu. 

    Ditanya mengapa ketiga-tiga individu terbabit tidak ditahan bagi membantu siasatan, Ismail berkata, semua tindakan yang dilaksanakan PDRM adalah berdasarkan dasar profesionalisme pasukan itu dan mengikut prosedur undang-undang. 

    "Atas kesalahan apa mereka perlu ditahan?... kalau sudah sampai, cukup semua bukti dan disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak mengikut undang-undang. 

    "Kita sudah memanggil dua daripada tiga individu itu untuk diambil kenyataan. Jika tahan mereka tetapi kita tidak cukup bukti untuk tindakan seterusnya, orang ramai akan mentertawakan polis pula," katanya. 

    Sementara itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) menafikan terbabit dalam penempahan dan pembiayaan dua hotel yang dijadikan lokasi tayangan video seks mirip Anwar dengan wanita muda warga asing. 

    Pengurusan RISDA dalam satu kenyataan, berkata pihaknya tidak terbabit langsung dengan isu berkenaan dan tidak pernah membuat tempahan atau membiayai mana-mana bilik di Carcosa Seri Negara dan Hotel Flamingo. 

    "Sejak terbongkarnya kisah video seks yang didedahkan sekumpulan Datuk T, segelintir pihak menuduh RISDA turut terbabit dalam kes berkenaan," katanya. 

  • No comments:

    Post a Comment