Thursday, March 24, 2011

6 terkorban protes parti Baath





2011/03/24

Askar Syria serang penentang kerajaan di Masjid Omari, doktor antara mangsa 

DAMSYIK: Askar Syria menembak mati sekurang-kurangnya enam orang semalam dalam serangan di sebuah masjid di selatan bandar Deraa, kawasan yang menyaksikan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahan Parti Baath pimpinan Presiden Bashar al-Assad. 

“Pasukan keselamatan bertempur dengan kumpulan bersenjata di Masjid Omari, menembak beberapa anggotanya dan menahan yang lain. Anggota pasukan keselamatan turut terbunuh,” kata kenyataan itu.
Sebelum serangan pasukan keselamatan terhadap masjid itu, bekalan elektrik dan telefon dipotong di kawasan itu. Laungan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) kedengaran di kawasan kejiranan Deraa apabila tembak menembak bermula.
Tidak jelas sama ada pembantah mempunyai senjata. Mereka yang terbunuh termasuk doktor daripada keluarga terkenal Deraa, Ali Ghassab al-Mahamid, yang ke Masjid Omari di kawasan kota lama bagi membantu mangsa serangan pada tengah malam, kata penduduk. 

Mahamid terbunuh ketika berada dalam ambulans yang diserang sekumpulan penyerang bersenjata. 

Serangan itu menjadikan 10 orang awam mati dibunuh askar selepas protes berlanjutan enam hari bagi menuntut pembaharuan politik dan mengakhiri rasuah di negara yang mempunyai penduduk 20 juta orang itu. 

Parti Baath mengharamkan pembangkang dan menguatkuasa undang-undang darurat sejak 1963. 
Tiada sebarang komen dari kerajaan Assad yang menghadapi cabaran besar sejak pemerintahannya selepas mengambil alih daripada bapanya, Hafez al-Assad pada 2000. Gelombang kebangkitan pemberontakan Arab berjaya menggulingkan pemerintah di Tunisia dan Mesir. 

“Dr Mahamid ditembak penembak curi. Sistem telefon diganggu tetapi kami tahu mengenai kejadian berdekatan masjid menerusi talian telefon bimbit Jordan,” kata penduduk. Deraa bersempadan dengan Jordan. 

Serangan itu terjadi sehari selepas pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia berkata pihak berkuasa perlu berhenti menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi secara aman. 

Pembantah yang memasang khemah di perkarangan masjid berkata mereka akan bertahan sehingga tuntutan mereka dipenuhi. 

Jemaah masjid, Ahmad Siasneh, memberitahu stesen televisyen Arabiya kelmarin yang masjid itu masih dalam keadaan aman. Penunjuk perasaan turut berkumpul di pekan berdekatan, Nawa. 

Kelmarin, Naib Presiden Farouq al-Shara berkata Bashar komited meneruskan pembaharuan dan permodenan Syria, lapor televisyen Lubnan, al-Manar. 

Tuntutan utama penunjuk perasaan ialah menghentikan penderaan oleh polis rahsia diketuai sepupu Bashar di wilayah Deraa. 

Pihak berkuasa menahan pemimpin pembantah, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria. Loay Hussein, tahanan politik daripada 1984 hingga 1991, dibawa dari rumahnya berdekatan Damsyik. – Reuters
bharian

No comments:

Post a Comment