Thursday, March 24, 2011

"Saya serang bukan kerana cemburu"



KOTA BHARU – Isteri tua kepada mangsa kejadian tetak di Kampung Senang di sini, mengaku bertindak menyerang suaminya itu dengan menggunakan sebilah parang tumpul pada kejadian, Isnin lalu.

Bagaimanapun, wanita berusia 31 tahun berkenaan menegaskan bahawa serangan ke atas seorang pendikir barat itu mempunyai sebab dan bukannya bermotifkan cemburu.

Dia bersama ibu dan dua saudaranya hadir ke Pejabat Sinar Harian, semalam menyatakan suaminya itu sudah lima bulan tidak pulang menjenguk beliau dan anak-anak yang kini menumpang di rumah ibunya di Kampung Jejulok Banggu, Binjai.

Menurutnya, tindakan nekad bergelut dengan suami itu, didorong perasaan untuk melindungi anak keempat mereka yang didakwa dibawa suaminya untuk tinggal bersama isteri baru di Kuala Lumpur.

“Saya menjaga kelima-lima anak kami itu bersendirian dengan pendapatan RM500 sebulan sebagai guru fardu ain.

Ini kerana beliau tidak memiliki pendapatan yang baik dan hanya mendapat duit dari persembahan berdikir,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia sanggup menjual ikan bersama suaminya untuk menambah pendapatan tetapi tidak lagi sejak ditinggalkan tanpa sebarang berita bermula 17 November lalu, kerana memberi tumpuan kepada anak bongsu yang kini berusia lapan bulan.

“Saya sudah banyak kali memaafkan dia dan pernah merujuk semula selepas bercerai pada tahun 2006 demi anak-anak. Bagaimanapun, dia tetap menjalin hubungan dengan wanita lain dan itu pun saya hanya mengetahuinya selepas anak bongsu kami mencecah usia empat bulan.

“Saya akui membenarkan dia berkahwin lain, tetapi dengan syarat dia berkemampuan dari segi kewangan serta melunaskan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap anak-anak kami dengan sempurna terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, hatinya kini tidak lagi dapat menerima suaminya itu lebih-lebih kisah mendapat malu apabila kisah rumah tangga mereka disiarkan media.

“Saya tidak dapat memaafkan perbuatannya terhadap kami anak beranak dan sekarang saya dalam proses memohon cerai taklik di Mahkamah Syariah, Kota Bharu.

“Saya harap dia ‘lepaskanlah’ saya dengan cara baik dan tidak lupa memberi nafkah kepada semua lima anak perempuannya itu,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang isteri tua mengamuk dan menyerang suaminya dengan sebilah parang di kampung tersebut, kelmarin.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, 29, cedera di lengan dan muka akibat digigit serta ibu isteri muda lelaki itu pula cedera tangan kiri selepas terkena libasan parang ketika pergelutan.

No comments:

Post a Comment