SUNGAI PANJANG – Cuma mengharapkan hasil kebun kelapa sawit, seorang wanita tabah menjaga suaminya, Md Noor Ismail, 54, yang lumpuh kerana strok dan seorang ibu, Marinah Masrip, 83, yang terlantar sakit tua hampir tiga tahun lalu.
Saharom Saini, 53, berkata, jika sebelum ini ada menerima bantuan zakat selama enam bulan, kini dia bergantung sepenuhnya pada hasil kebun dan bantuan adik beradiknya untuk menguruskan perbelanjaan ibu dan suaminya.
“Ibu terlantar sakit dan tiba-tiba suami pula strok ketika duduk berehat selepas bekerja, tumbang dan tidak boleh bergerak. Selepas suami sakit, tiada siapa yang menguruskan kebun yang menjadi sumber pendapatan menyebabkannya semakin semak.
“Kos lampin pakai buang dan susu sangat tinggi dan dianggarkan lebih RM600 dibelanjakan untuk keperluan itu,” katanya ketika ditemui dalam program gotong-royong baik pulih rumah bersama Bridget Prihatin Parlimen Sungai Besar.
Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon.
Saharom berkata, dua anaknya masih belajar di sekolah menengah dekat sini, dua lagi anaknya bekerja di kilang dekat Klang, manakala empat anak perempuannya sudah berkeluarga.
Menurutnya, dengan keadaan kewangan yang tidak stabil, keadaan bumbung rumahnya yang uzur terpaksa dibiarkan sahaja.
“Biarpun bantuan yang diberikan bukan untuk keseluruhan bumbung rumah, saya bersyukur dan berterima kasih. Kerosakan yang masih tinggal itu akan saya usahakan untuk membaikpulih,” katanya.
Difahamkan, program baik pulih rumah bersama Bridget Prihatin Parlimen Sungai Besar itu adalah yang ke-14 untuk tahun ini dan dianggarkan berjumlah RM1,500 melalui peruntukan khas Ahli Parlimen Sungai Besar.
Program yang diadakan ini dapat meminimumkan kos baik pulih sekali gus membolehkan peruntukan disalurkan kepada lebih ramai golongan sasar.
No comments:
Post a Comment