2011/03/24
ST PETERSBURG: Seorang wanita berusia 92 tahun yang gagal menggoda seorang lelaki lebih muda bertindak menembak jirannya itu.
Polis berkata, Helen Staudinger, mahu lelaki itu memberi ciuman dan berang apabila permintaannya tidak dipenuhi meskipun tahu jirannya itu sudah mempunyai teman wanita.
Wanita dari tengah Florida itu melepaskan tembakan empat kali menggunakan pistol separuh automatik ke arah jirannya yang berusia 53 tahun kerana enggan menciumnya, kata polis kelmarin.
“Jika kepala saya ke depan sikit tentunya peluru akan terkena belakang kepala saya. Tiga das tembakan terkena tepi rumah,” kata lelaki itu, Dwight Bettner yang mengakui hubungannya dengan Staudinger baik sebelum ini.
Staudinger dipenjara sehari selepas ditahan atas tuduhan melakukan serangan dengan senjata merbahaya dan menembak kediaman. Wanita itu juga dilaporkan menyasarkan kenderaan jirannya.
Laporan polis menyatakan, Staudinger memberitahu pihak berkuasa bahawa dia pergi ke rumah Bettner di Pelabuhan McCoy, Florida, dan enggan pulang sehingga lelaki itu menciumnya.
Apabila Bettner masih enggan lakukannya, mereka bertengkar dan Staudinger keluar dengan keadaan marah. Bettner berkata, tidak lama selepas itu, dia sedang berbual di telefon dengan bapanya apabila terdengar bunyi tembakan.
Satu peluru menembusi tingkap rumahnya dan dia terkena serpihan kaca. Bekas penguasa undang-undang itu berkata jiran warga emasnya itu nampak berminat dengannya sejak dia berpindah ke situ enam bulan lalu.
“Saya membantunya membuang sampah, hanya sebagai jiran. Saya rasa beliau ada tanggapan lain. Saya tidak sangka dia akan tembak saya,” kata Bettner.
Staudinger dikenakan ikat jamin berjumlah AS$15,000 (RM45,000) dan dilarang menghubungi atau mendekati Bettner. Dia juga menolak menerangkan kejadian berkenaan kepada media. – Reuters/Agensi
bharian
No comments:
Post a Comment