Thursday, March 24, 2011

Air paip dicemari radioaktif



PARIS 23 Mac - Ibu bapa di Jepun dinasihati supaya tidak membuat susu bayi menggunakan air paip selepas pihak berkuasa hari ini mengesan ia mengandungi paras radioaktif iodin berlebihan, yang boleh mendatangkan bahaya kepada golongan itu.
Seorang pegawai berkata, satu sampel air yang diambil dari sebuah wad di Tokyo, semalam didapati mengandungi bahan radioaktif 210 becquerels per kilogram, dua kali ganda berbanding paras yang dibenarkan.
"Di bawah garis panduan kerajaan, air yang mengandungi bahan radioaktif dengan kepekatan 100 becquerels per kilogram tidak sesuai digunakan untuk membuat susu bayi," kata seorang pegawai kepada pemberita.
Katanya, satu lagi sampel air dari hospital yang sama hari ini dikesan mengandungi bahan radioaktif 190 becquerels per kilogram.
Sehubungan itu, majlis perbandaran menasihati orang ramai agar tidak menggunakan air paip untuk membuat susu bayi sehingga satu notis lanjutan dikeluarkan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Naoto Kan hari ini mengarahkan penghantaran produk ladang dari Fukushima dan Ibaraki dihentikan selepas ia dikesan mengandungi paras radiasi tinggi.
Menurut Jiji Press dan media lain, penghantaran sayur brokoli dan bayam 'komatsuna' dari Fukushima serta susu tidak dirawat dan sayur parsley dari Ibaraki perlu dihentikan.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa gegaran susulan dikesan di bahagian timur laut Jepun, hari ini, bagaimanapun ia tidak mendatangkan kesan serius kepada reaktor nuklear di Fukushima, lapor agensi berita Xinhua.
Pakar berkata, krisis nuklear di Jepun menyebabkan negara ini berhadapan masalah pembersihan yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun atau berdekad-dekad, sekali gus melibatkan perbelanjaan yang besar.
Kata mereka, jangkaan kos pembersihan itu masih terlalu awal untuk dibuat ketika jurutera di reaktor No. 1 Fukushima masih berada dalam situasi cemas dan data atau maklumat mengenai kerosakan serta pembebasan radiasi itu masih belum diperolehi sepenuhnya. - AFP/Bernama
utusan

No comments:

Post a Comment