Wednesday, March 30, 2011

Angkara cek RM8,004


MELAKA: Angkara cek yang tersalah tulis, kehidupan seorang kerani di sebuah syarikat penanaman kelapa sawit di Alor Gajah, dekat sini, menjadi tunggang langgang.
Norzailin Haron, 35, berkata, masalah berlaku apabila cek yang diterima untuk bayaran gaji bulanannya berjumlah RM804 tersalah tulis oleh pihak pengurusan, menjadikan jumlahnya RM8,004.

Katanya, ketika menerima cek itu, beliau hanya melihat angkanya kerana yakin jika angka salah, perkataannya juga salah, namun amaun yang tertera RM804 saja.

“Selama kira-kira tiga tahun bekerja di syarikat berkenaan, saya menerima gaji melalui cek dan tiada masalah seperti ini, malah cek bertarikh 29 Januari 2011 itu juga ditandatangani pengurus dan penolong pengurus,” katanya, ketika ditemui, di sini. Menurutnya, ketika menerima cek itu, dia meminta diberi cek tunai kerana memerlukan duit secepat mungkin, namun pihak pengurusan tetap memberikannya cek.

Katanya, dia kemudian meminta suaminya, Mohd Aznin Ishak, 39, memasukkan cek itu ke akaunnya.

Namun, katanya, sebulan selepas itu pada 11 Mac lalu, pihak pengurusan mendakwa bank tersalah mendepositkan RM8,004 ke akaunnya dan memintanya mengembalikan wang berkenaan.

“Saya memang terkejut kerana tidak mengetahui jumlah itu ada di dalam akaun simpanan memandangkan semua urusan suami yang lakukan.

“Bagaimanapun, suami mengetahui jumlah itu dan menyangkanya wang sagu hati dariapda syarikat.
“Beberapa hari kemudian, saya berbincang dengan pengurus dan bersetuju memulangkan wang itu melalui potongan gaji setiap bulan, namun ketua kerani membuat laporan polis mendakwa saya tidak amanah dan memakan duit syarikat,” katanya.

Norzailin tidak puas hati kerana dipaksa menulis sepucuk surat menyatakan beliau memohon maaf termakan duit syarikat, sedangkan itu bukan kesalahannya.

“Bila mereka suruh saya tulis surat, ini menunjukkan saya bersalah dan mereka senang-senang boleh berhentikan saya,” katanya yang kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment