Wednesday, March 30, 2011

Perangkap maut



Oleh Mahani Ishak
bhjb@bharian.com.my
2011/03/30

 PENDUDUK menunjukkan takungan air dikeringkan pemilik tanah persendirian selepas sehari murid Tahun Enam  mati lemas.
PENDUDUK menunjukkan takungan air dikeringkan pemilik tanah persendirian selepas sehari murid Tahun Enam mati lemas.
Penduduk sekitar Kangkar Pulai gesa tingkat ciri keselamatan kolam terbiar 

JOHOR BAHRU: Selepas nyawa seorang murid Tahun Enam menjadi korban sebuah kolam terbiar di Kangkar Pulai, tuntutan kira-kira 1,000 penduduk sekitar situ yang mahu kolam yang menjadi 'perangkap maut' dekat rumah mereka dikeringkan, menjadi kenyataan.
Usaha mengeringkan kolam terbiar yang sering menjadi lokasi kanak-kanak untuk mandi-manda serta memancing, selain menjadi tempat lepak dan ponteng sekolah itu, dilakukan oleh pemiliknya.
Walaupun kolam itu dikeringkan, isu keselamatan di situ masih belum berakhir kerana penduduk mahu supaya pemilik kawasan terbabit memasang pagar atau menempatkan pengawal keselamatan bagi mengelak ia terus diceroboh, kerana masih ada beberapa kolam terbiar yang belum dikeringkan. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai, Mohd Zaini Saimon, berkata tindakan mengeringkan air kolam terbabit perlu disusuli dengan pemasangan pagar. 

“Meskipun air sudah dikeringkan, keadaan di sini tetap bahaya kerana tanahnya jerlus. Kami masih bimbang jika ada kanak-kanak tertarik untuk mencari ikan pula di kawasan berlumpur tebal di sini kerana boleh menjadi perangkap maut. 

“Kawasan ini pernah menjadi lombong pasir tetapi sudah dihentikan operasi sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan lebih 10 kolam terbentuk di kawasan ini dan kini terbiar,” katanya. 
Dalam kejadian Ahad lalu, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam kolam terbabit ketika mandi bersama beberapa rakan di situ. 

Mayat mangsa, Mohd Farriz Saparman, 12, dari Taman Pulai Bestari, di sini ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 5.55 petang Ahad. 

Mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam kolam itu pada tengah hari Sabtu selepas keluar bermain basikal bersama dua rakannya. 

Dua rakan sebayanya yang ketakutan selepas melihat Mohd Farriz lemas, dipercayai bertindak menyembunyikan kejadian itu sehingga keluarga mangsa mula mencari sebelum menemui basikalnya tidak jauh dari kolam yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya. 

Operator pengeluaran yang juga pemancing, Mohd Shahril Buang, 47, berkata kolam terbiar di situ sering menjadi tumpuan kanak-kanak bermain air serta menarik kehadiran kaki pancing kerana banyak ikan talapia yang membiak di situ. 

“Saya dan rakan selalu ke sini untuk memancing sejak beberapa tahun lalu kerana kawasan ini banyak ikan. Kawasan ini juga sering menjadi tempat pelajar ponteng sekolah dan sebahagian mereka turut mandi dan mengambil risiko berenang hingga ke tengah kolam,” katanya. 

Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPBJT), Fakhrul Anwar Ramli, berkata beliau akan mengemukakan isu kolam terbiar di kawasan itu kepada Yang Dipertua MPBJT bagi mengambil tindakan segera. 

“Selepas meninjau kawasan ini, langkah segera patut diambil termasuk mengarahkan pemilik memasang pagar tinggi dan meletakkan notis amaran bahaya supaya kejadian lemas tidak berulang. 

“Pada masa sama, kita minta ibu bapa menjaga keselamatan anak masing-masing supaya mereka tidak dibiarkan bermain tanpa pengawasan orang dewasa kerana kawasan pasir jerlus ini mungkin mengundang lebih banyak bahaya,” katanya selepas menziarahi bapa mangsa, Saparman Sahali, 43, dan isterinya Sri Mahani Marwan, 34 di rumah mereka di Taman Pulai Bestari. 

No comments:

Post a Comment