Wednesday, March 30, 2011

Pasar raya warga Acheh diarah tutup



SKUDAI – Tiga pasar raya milik warga asing diarah tutup serta-merta selepas pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) mengeluarkan tujuh kompaun termasuk tiga notis dalam satu Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen, semalam.

Serbuan kira-kira jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang semalam membabitkan 18 anggota penguat kuasa MPJBT menyerbu tiga pasar raya milik warga Acheh susulan liputan Sinar Harian pada 18 Mac lalu berhubung penyalahgunaan lesen perniagaan yang didalangi rakyat tempatan.

Ketua bahagian Perlesenan MPJBT, Johare Abdul Hamid berkata, hasil daripada liputan terbabit pihaknya menyerbu tiga pasar raya terbabit yang berada di lokasi berbeza iaitu di Taman Nusa Perintis 3, Taman Nusantara dan Taman Pulai Utama.

“Hasil serbuan berkenaan, kita dapati lesen perniagaan adalah milik rakyat tempatan namun telah disalahgunakan melalui sistem ‘ali baba’ kepada peniaga asing bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tujuh kompaun bernilai RM1,750 dikeluarkan MPJBT selepas pemilik pasar raya terbabit gagal mematuhi notis pada 22 dan 23 Mac lalu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, di bawah kesalahan gagal mematuhi arahan Notis Kacau Ganggu Seksyen 82 (5).

“Selain itu, pemilik pasar raya terbabit juga dikenakan kompaun berdasarkan Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran MPJBT,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Johare berkata, disebabkan kesalahan terbabit, pasar raya berkenaan diarah tutup serta-merta dan tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan bermula semalam.

Dalam serbuan sama, pihak Imigresen menahan 18 warga Acheh yang bekerja di pasar raya berkenaan berumur antara 26 hingga 36 tahun kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan memasuki negara ini untuk bekerja.

No comments:

Post a Comment