Wednesday, March 30, 2011

Ladang 'setinggan' warga asing



Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/03/30

RUMAH warga asing di Kampung Bukit Damar Sepang.
RUMAH warga asing di Kampung Bukit Damar Sepang.
Penduduk Kampung Bukit Damar, Bukit Baja bimbang terdedah risiko jenayah 

SEPANG: Lebih 1,000 penduduk Kampung Bukit Damar dan Orang Asli Bukit Baja dekat sini bimbang dengan kebanjiran warga asing yang semakin ramai tinggal di kampung itu sejak tujuh tahun lalu.
Jumlah mereka yang semakin bertambah secara mendadak hampir mencecah lebih 2,000 orang itu menyebabkan penduduk tempatan terdedah terhadap risiko jenayah yang dilakukan oleh mereka.
Warga asing itu daripada Indonesia, Nepal, Bangladesh, Vietnam, India dan China yang kebanyakan mereka bekerja sebagai pencuci bangunan dan buruh di tapak pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya dan Putrajaya. 

Difahamkan, penempatan warga asing itu disewakan oleh pemilik ladang berkenaan kepada individu tertentu sejak tujuh tahun lalu berdasarkan lokasinya yang tersorok dan terlindung daripada pandangan luar. 

Lebih membimbangkan, kebanjiran warga asing itu menimbulkan rasa kurang selesa dari segi ketenteraman dan kedamaian selain sering dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah seperti samun, judi dan mengotorkan kawasan kampung. 

Tinjauan Sentral mendapati warga asing itu tinggal dalam kontena dan rumah kongsi yang dibina pihak terbabit yang dilengkapi bekalan air dan elektrik. 
Lebih membimbangkan, kawasan ladang kelapa sawit itu kini menjadi 'setinggan' warga asing apabila mereka membina pondok kecil dan membuang sampah merata tempat berhampiran tempat tinggal mereka. 

Penduduk, Atoi Mohd, 26, berkata kedatangan warga asing beberapa tahun lalu di kampungnya makin menjadi-jadi kebelakangan ini. 

Atoi berkata, apa yang dikesalkan ialah kebanyakan mereka seolah-olah ingin terus bermastautin di kampung itu dan bilangan mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa. 

Pekerja kontrak, Khairul Zamri, 30, pula memberitahu, beliau rimas dengan segelintir warga asing yang sering mengotorkan kawasan kampung itu dengan membuang sampah sesuka hati. 

Khairul berkata, penduduk tempatan juga bimbang mengenai tahap keselamatan mereka berikutan ada beberapa kes samun yang kerap berlaku kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui jalan kampung itu pada waktu malam. 

Kegelisahan berhubungan isu warga asing itu turut disuarakan oleh peniaga, Zainal Mat Ali, 54, yang menyifatkan penduduk setempat kini ibarat menumpang di tanah sendiri. 

“Hampir 80 peratus penduduk di kampung itu adalah warga asing, manakala bakinya Orang Asli. 

"Keadaan itu mencemarkan nama baik kampung tetapi dan menggugat keselamatan penduduk dan kami tidak berani menegur kerana mereka ramai," katanya. 

No comments:

Post a Comment