Wednesday, March 30, 2011

Gaji dan elaun ketua pegawai eksekutif Tabung Haji RM82,000 sebulan



KUALA LUMPUR 28 Mac - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa gaji dan elaun yang diperolehi Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah RM82,000 sebulan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ekoran daripada soalannya ketika sesi perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempunyai satu garis panduan supaya gaji yang dibayar kepada peneraju-peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada ketua pegawai eksekutif atau pegawai-pegawai kanan adalah pada kadar yang munasabah dan bukannya dengan jumlah terlalu tinggi.
"Gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak setinggi seperti mana ketua pegawai eksekutif terbabit sedangkan tanggungjawab mereka lebih besar kerana terpaksa menguruskan sebuah negara.
"Berbanding dengan tanggungjawab seorang ketua pegawai eksekutif bagi sebuah GLC mereka hanya menguruskan sebuah syarikat. Tambahan pula mereka dibantu ramai kakitangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Ibrahim turut mempersoalkan kewajaran mereka mendapat imbuhan sebegitu besar walaupun hanya setakat menguruskan sebuah syarikat.
Beliau berkata, sebagai seorang ketua pegawai eksekutif sepatutnya mereka hanya berhak mendapat satu gaji serta satu elaun sahaja.
"Ini tidak, bila memegang jawatan ketua pegawai eksekutif sebagai contoh, di Tabung Haji, beliau juga akan menjadi pengerusi anak syarikat serta pengarah anak-anak syarikat yang lain.
"Beliau sepatutnya tidak layak menerima elaun tambahan tetapi cukup hanya satu gaji dan elaun sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment