TANAH MERAH: Seorang bapa yang tidak mengetahui anak perempuannya yang menuntut di Bachok, Kelantan ke Kuala Terengganu untuk bersiar-siar, menerima berita amat mengejutkan apabila anaknya itu maut dalam kemalangan pagi semalam.
Abdul Jaabar Hussain, 52, bapa kepada Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, berkata, beliau hampir pitam apabila dihubungi seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang memaklumkan kereta dinaiki anaknya terbabit dengan kemalangan membabitkan lori tangki.
“Bermacam-macam tanggapan dalam fikiran saya memandang kejadian berlaku ke atas arwah yang juga anak kelima daripada tujuh beradik itu.“Namun saya gagahi juga ke sana (Hospital Besut) dan menerima ketentuan Allah bahawa anaknya saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, tiga daripada lima pelajar jurusan kejururawatan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Cawangan Bachok terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 104 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Gerai, Besut.
Mangsa yang terbunuh ialah Noor Diana Mohd Noor, 22, dari Kota Tinggi, Johor; Zur Irah Zakaria, 19, dari Kampung Titian Baru Atas Tol, Kuala Terengganu, dan Nurul Shahidah.
Abdul Jaabar berkata, kali terakhir beliau bertemu Nurul Shahidah adalah dua minggu lalu dan anaknya itu ada menghubunginya petang kelmarin tapi tidak memberitahu pemergiannya ke Kuala Terengganu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanah Merah, Baharuddin Yusof, yang melawat rumah mangsa, turut menyampaikan sumbangan RM500 kepada keluarga Nurul Shahidah.
“Saya sebagai rakan kepada bapa mangsa dan juga mewakili UMNO Bahagian mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan berharap mereka bersabar dan menerimanya dengan hati yang lapang walaupun cukup berat menghadapinya.
“UMNO Bahagian akan membantu dari segi pengurusan Majlis Tahlil bagi memudahkan dan meringankan beban keluarga mangsa,” katanya.
Di JERTIH: Bapa Zur Irah, Zakaria Muda, 49, terkilan kerana pengurusan kolej membenarkan pelajarnya keluar pada waktu malam sehingga awal pagi.
Ketika ditemui di Hospital Besut untuk menuntut mayat anaknya, Zakaria berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang rakan anaknya kira-kira jam 8.30 pagi memaklumkan Zur Irah terbabit dalam kemalangan.
“Saya terkejut sebaik sampai di HB kemudian dimaklumkan anak saya adalah seorang daripada tiga mangsa yang terbunuh,” katanya.
No comments:
Post a Comment