Friday, April 15, 2011

Guru pukul murid sampai mati hadapi tuduhan membunuh




HANIF dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, semalam.
HANIF dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, semalam.


KANGAR: Guru agama, Hanif Mohd Ali, 26, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di asrama putra Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi dekat sini, pada 31 Mac lalu. 


Hanif yang juga warden asrama dituduh melakukan perbuatan itu dalam bilik warden asrama putra sekolah agama milik persendirian berkenaan antara jam 6 petang dan 12 tengah malam.
Tertuduh kelihatan sugul sepanjang prosiding, bagaimanapun kelihatan tenang dengan seragam lokap ungu, sambil sesekali mulutnya dilihat berkumat-kamit dipercayai melafazkan zikir.
Dia yang banyak menundukkan muka, mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan kepadanya, termasuk hukuman mati mandatori yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan. 


Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, manakala Hanafi diwakili peguam Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. 


Sejurus pertuduhan dibacakan, keadaan dalam mahkamah yang dipenuhi media serta rakan dan ahli keluarga tertuduh, menjadi kecoh berikutan perbezaan pendapat antara peguam bela dan pendakwa raya berhubung permohonan larangan terhadap media membuat liputan kes itu yang dibuat Mohd Fikri. 


“Saya mohon mahkamah tetapkan satu bentuk larangan yang mungkin boleh dipatuhi mengenai penulisan atau penyiaran supaya ia tidak subjudis terhadap prosiding kes. 
“Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai sensasi dan dalam keadaan OKT (orang kena tuduh) yang belum disabitkan, dikhuatiri laporan media akan membuka ruang kepada ‘public trial’ (perbicaraan umum),” katanya. 


Azman membantah permohonan Mohd Fikri kerana menganggap ia suatu yang tidak adil terutama dalam konteks kebebasan media. 


“Saya yakin media cukup matang mempertimbangkan perkara yang boleh menyebabkan subjudis, walaupun tanpa sebarang arahan khusus mahkamah,” katanya. 


Nurshahida bagaimanapun memutuskan tiada larangan terhadap media membuat liputan kes itu, sekali gus menolak permohonan peguam bela. 


Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

No comments:

Post a Comment