Friday, April 15, 2011

Tidak putus berzikir

KANGAR: Seorang guru agama yang menghadapi tuduhan membunuh murid lelaki, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, kelihatan berzikir berdasarkan keadaan mulutnya terkumat-kumit sepanjang prosiding kes berlangsung di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Tertuduh, Hanif Mohammud Ali, 26, memakai seragam lokap berwarna ungu kelihatan sugul dan ada kalanya mengangkat kepala untuk memerhati orang ramai yang penuh sesak di dalam mahkamah ketika berhadapan pertuduhan berkenaan.

Hanif didakwa menyebabkan kematian Saiful Syazani dalam bilik warden asrama putra di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac lalu.
Dia yang juga warden asrama menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori kelihatan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Azman Abu Hassan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sepanjang prosiding terbabit. Hanif diwakili peguam, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Mohd Fikri memohon mahkamah agar menetapkan larangan terhadap media daripada membuat liputan terhadap prosiding membabitkan anak guam mereka sebelum dibantah pihak pendakwa.
“Saya pohon mahkamah tetapkan satu bentuk larangan yang mungkin boleh dipatuhi tentang penulisan atau penyiaran supaya ia tidak subjudis terhadap prosiding kes.

“Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai ‘sensasi’ dan dalam keadaan OKT (orang kena tuduh) yang belum disabitkan, dikhuatiri laporan dibuat media akan membuka ruang kepada ‘public trial’ (perbicaraan umum),” katanya.
Sementara itu, Azman ketika bangkit menyatakan bantahan kerana menganggap ia sebagai suatu yang tidak adil terutama dalam konteks kebebasan media.

“Saya yakin media cukup matang untuk mempertimbangkan perkara yang boleh menyebabkan subjudis dalam laporan dibuat walaupun tanpa sebarang arahan khusus diperuntukkan mahkamah,” katanya.
myMetro | Tidak putus berzikir

No comments:

Post a Comment