KUALA LUMPUR 16 April – Pengendali laman blog antikerajaan, Raja Petra Kamaruddin berjanji akan pulang ke tanah air untuk berhadapan dengan dakwaan memfitnah Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin jika Peguam Negara mahu berbuat demikian.
Raja Petra berkata, beliau akan mengaku bersalah dan rela dipenjarakan jika dituduh memfitnah Azmi dan bukannya dituduh untuk jenayah yang tidak dilakukannnya.
“Itu janji saya jika mereka berjanji untuk mendakwa saya atas jenayah yang betul, tetapi saya sesekali tidak akan berhadapan dengan tuduhan memfitnah ‘tiga orang’ ( isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Kolonel Norhayati Hassan dan Kolonel Aziz Buyong) yang saya tidak fitnah itu.
“Mereka (Peguam Negara) mesti berjanji bahawa ia adalah satu-satunya tuduhan yang akan saya hadapi dan bukannya menambah tuduhan-tuduhan bagi jenayah yang lain,” katanya dalam laman web Malaysia Today hari ini.
Raja Petra berkata, selama tiga tahun media prokerajaan dan propembangkang telah memutar-belit fakta di dalam Akuan Bersumpah yang dibuatnya pada Jun 2008 dengan mengatakan bahawa beliau telah menuduh Rosmah, Norhayati dan Aziz berada di tempat Altantuya Shaariibuu dibunuh.
“Dari semasa ke semasa saya cuba membetulkan persepsi salah ini. Saya telah cuba tetapi tidak berjaya untuk menerangkan bahawa saya tidak membuat tuduhan sedemikian.
“Sebaliknya, apa yang saya dakwa adalah Leftenan Kolonel Azmi yang membuat dakwaan tersebut memandangkan dia adalah orang nombor dua di dalam Cawangan Khas perisikan tentera, jadi ini bukan calang-calang orang yang bercakap tentang seseorang yang penting di dalam kerajaan,” jelasnya.
Katanya, beliau juga tidak pernah menafikan bahawa telah menandatangani Akuan Bersumpah pada 2008 kerana tandatangan dan namanya tertera di dalam dokumen itu.
“Menuduh saya kerana memfitnah Rosmah, Kolonel Aziz dan Kolonel Norhayati adalah dakwaan yang salah. Tuduhan yang betul adalah saya memfitnah Leftenan Kolonel Azmi,” katanya.
No comments:
Post a Comment