Sunday, April 17, 2011

Wanita empat anak perlu bantuan baiki rumah



PASIR PANJANG – Bukan mudah membesarkan empat anak dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan terutamanya bagi seorang ibu.

Namun semangat dan kecekalan Siti Latifah Uteh, 46 membolehkannya mendidik dan membesarkan anaknya sehingga ada yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam pada peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Siti Latifah berkata, biarpun kehidupan sempit dengan pendapatan itu dia masih mampu menyediakan keperluan harian dan pendidikan anaknya sejak hampir 10 tahun lalu.

“Saya bekerja di kilang kerepek dan dengan pendapatan itulah saya menyekolahkan anak-anak dan kini masih ada dua lagi yang bersekolah.

“Alhamdulillah, anak yang pertama kini sudah bekerja dan sebelum ini mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ketika menyambung pelajarannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Sementara itu, anak keduanya sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD di Universiti Malaya dan mendapat biasiswa.

“Anak banyak membantu meringankan kesempitan hidup dan jika tiada pinjaman dan biasiswa ini, saya tidak mampu menampung perbelanjaan pendidikan mereka,” katanya.

Namun dengan pendapatan kecil serta tanggungjawabnya besar, Latifah tidak mampu membaikpulih rumahnya.

“Hendak menyediakan wang membaiki rumah ini terutamanya di bahagian dapur sememangnya saya tidak mampu.

“Hendak memohon bantuan kami tidak tahu salurannya dan terpaksalah bahagian rumah yang uzur dibiarkan begitu sahaja tanpa dapat dibaik pulih,” katanya.

No comments:

Post a Comment